Penyanyi, Datuk Nora Ariffin akhirnya tampil bersuara susulan kontroversi yang melibatkan anak perempuannya, Puteri Dahlia yang nekad tidak lagi bertudung.
Kata Nora, sebagai ibu dia sudah menjalankan tanggunjawab yang baik untuk menasihatkan anaknya supaya kembali ke jalan yang benar.
Advertisement
“Bismillah, hidayah itu milik Allah SWT. Sebagai ibu saya sentiasa mendoakan memberikan nasihat yang baik-baik dan tidak pernah berputus asa berdoa memohon segala kebaikan untuk anak-anak.
“Allah sahaja yang tahu apa yang kami lalui,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.
Tambah penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu, dia hanya mampu mendoakan agar anak-anaknya diberikan hidayah untuk kembali ke pangkal jalan.
“Buat masa ini saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT agar mereka diberikan hidayah serta pedoman untuk kembali ke pangkal jalan. Insyaa-Allah. Terima kasih semua,” jelasnya.

Sebelum ini, kehadiran Puteri Dahlia di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24 tanpa mengenakan tudung menyorot perhatian ramai.
Dahlia dalam sebuah temu bual berkata, keputusan membuka hijab bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya hasil daripada proses panjang mencari diri dan makna sebenar dalam kehidupan serta agama.