Sekilas
- Elly Sugigi, pelakon dan pengacara Indonesia berusia 54 tahun, menjalani pembedahan plastik pada bahagian bawah mata dan hidung walaupun tidak mendapat restu daripada anaknya.
- Anaknya mempersoalkan keputusan Elly kerana menganggap dia terlalu mementingkan penampilan pada usia yang sudah meningkat, namun Elly memilih untuk tidak membalas kata-kata tersebut demi menjaga hubungan keluarga.
- Elly berharap perubahan penampilan dapat membuka peluang rezeki baru dan menguatkan keyakinan diri selepas lama memikul tanggungjawab seorang diri serta menghadapi kritikan netizen.
Pelakon, pelawak dan pengacara Indonesia, Elly Sugigi, mendedahkan keputusan untuk menjalani pembedahan plastik tidak mendapat restu daripada anaknya.
Menurut Elly, anaknya mempersoalkan mengapa dia masih mahu mengubah penampilan sedangkan usianya sudah meningkat.
Elly kini sudah berusia 54 tahun. Dia melakukan pembedahan plastik pada bahagian bawah mata dan hidung yang menelan belanja sekitar RM15, 000. Menurut anaknya, Elly yang dipanggil Mama terlalu mementingkan duniawi sedang usianya tidak lagi muda.
"Saya nak cantik macam dia, tapi dia cakap, 'Mama ni asyik fikir pasal dunia saja, dah tua pun'," kongsi Elly ketika muncul dalam program YouTube STARPRO Indonesia, seperti dilaporkan Kompas.
Bagaimanapun, Elly memilih untuk tidak membalas kata-kata anaknya kerana bimbang perkara itu akan mengeruhkan hubungan mereka.
"Saya tak jawab. Saya takut nanti dia jadi anak derhaka. Saya tak nak balas," katanya lagi.
Walaupun tidak mendapat sokongan keluarga, Elly tetap meneruskan pembedahan pada bahagian hidung dan bawah mata.
Menurutnya, anaknya masih belum memahami apa yang dirasainya sebagai seorang ibu yang selama ini bekerja keras membesarkan keluarga.
"Dia tak faham. Dia masih perlukan duit saya," ujarnya yang juga mendakwa membayar kereta milik anaknya.
Malah dalam temu bual sama, Elly turut mengakui pengalaman beberapa kali gagal dalam perkahwinan menjadi antara faktor yang mendorongnya membuat keputusan tersebut.
"Sepatutnya Ulfi (anak saya) faham. Selama ini mama hidup sendiri, mama asyik gagal dalam perkahwinan."
Tambah Elly, dia berharap perubahan penampilan itu mampu membuka lebih banyak peluang rezeki. Dalam luahan penuh emosi itu, Elly berkata dia sudah terlalu lama memikul tanggungjawab seorang diri sehingga mengimpikan kehidupan yang lebih tenang.
"Saya cuma nak hidup bahagia. Saya bukan cari lelaki kaya. Selama 32 tahun saya cari rezeki sendiri, cari makan sendiri dan besarkan anak-anak sendiri. Saya dah penat."
Katanya lagi, dia tidak meletakkan kekayaan sebagai syarat untuk mencari pasangan hidup.
Paling penting salah satu faktor yang mendorong dirinya melakukan pembedahan plastik adalah kerana penat dihina netizen. Netizen selalu menghina rupa parasnya yang disifatkan tidak cantik sekaligus membuat dia hilang keyakinan diri,
“Saya percantik diri demi diri sendiri agar orang-orang tidak lagi menghina dan menghujat fizik saya,” kata Elly yang terkenal menerusi naskhah seperti Slank Nggak Ada Matinya, Bukan Malin Kundang, Nagabonar Reborn, Hijab dan Mekah I'm Coming.