Sekilas
- Andika Putera berkongsi perubahan besar dalam hidupnya selepas berkahwin dengan Dr Amalina Aiza, termasuk mengurangkan komitmen kerja dan memberi keutamaan kepada keluarga.
- Dia berhenti menggunakan vape dan steroid atas nasihat isteri yang seorang doktor, serta mula menjaga kesihatan secara lebih natural.
- Andika juga tidak lagi menghasilkan kandungan sensasi untuk tular, sebaliknya fokus pada masa berkualiti bersama keluarga dan anak.
Pempengaruh, Andika Putera mengakui terdapat beberapa perubahan besar yang berlaku dalam dirinya selepas mendirikan rumah tangga dengan Dr Amalina Aiza.
Perkara tersebut dikongsikan Andika menerusi satu hantaran di platform Threads, di mana dia menyenaraikan beberapa tabiat lama yang kini ditinggalkan demi memberi keutamaan kepada keluarga serta kesihatan diri.
Menurut Andika, antara perubahan utama yang dilakukan adalah mengurangkan komitmen kerja berlebihan.
Selain itu, Andika turut mendedahkan dia kini berhenti menggunakan vape selepas sering dinasihati oleh isterinya yang juga merupakan seorang doktor.
“Berhenti balik kerja lewat atau workaholic, lebihkan masa bersama isteri dan anak saya.
“Berhenti vape disebabkan dia doktor, banyak kongsi tentang keburukkan vape dan selalu kongsi gambar-gambar pesakit yang kena operation side effect vape.
“Berhenti ambil steroid, dia nak kita jaga dalaman, jadi semua sekarang ini natural,” kongsinya.
Dalam pada itu, Andika juga berkata dia tidak lagi menghasilkan kandungan berunsur sensasi semata-mata untuk tular, sebaliknya lebih menghargai masa berkualiti bersama keluarga.
“Berhenti buat content gila ‘viral’, dia membuatkan membuatkan saya tenang dan buat content santai-santai, stop main telefon bila habiskan masa dengan anak,” tegasnya.

Untuk rekod, Dr. Amalina sah bergelar isteri kepada Andika Putera pada 15 Januari tahun lalu dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung secara sederhana.
Imbas kembali, Andika pernah mendirikan rumah tangga bersama bekas isterinya, Ananda Natasha sebelum bercerai buat kali pertama pada tahun 2022.
Mereka kemudian rujuk demi kebaikan anak mereka, Alisha Puteri, namun mengambil keputusan untuk berpisah sekali lagi.
Sumber: Threads @andikaputeraa