Sekilas
- Pelakon Andy Teh menafikan dakwaan hubungan istimewa dengan Chacha Maembong dan menegaskan mereka hanya kawan dalam fasa perkenalan.
- Andy mahu fokus pada kerjaya dan belum bersedia untuk dedahkan apa-apa perkembangan dalam hubungan peribadi.
- Andy juga bersedia menerima jika jodohnya adalah wanita Melayu Muslim, tetapi masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai perkara itu.
Pelakon Andy Teh menafikan dakwaan kononnya dia sedang menjalin hubungan istimewa dengan pelakon cantik, Chacha Maembong.
Sebaliknya, ujar Andy atau nama sebenarnya Andy Teh Kim Hua, mereka sekadar di fasa perkenalan.
“Taklah, saya dengan dia kawan saja. Kita kawan. Buat masa sekarang memang tak ada apa-apa perkembangan lebih.
“Saya pun terkejut bila tahu pasal gosip ini. Saya baru tahu hari ini,” katanya.
Andy berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem Black Ops yang dijangka ditayangkan pada penghujung tahun ini.
Tambah pelakon berusia 40 tahun itu, dia juga mahu memberi fokus kepada kerjaya dan tidak mahu terburu-buru dalam soal perhubungan.
“Untuk sekarang ini, kami dah setuju untuk jaga kerjaya masing-masing. Saya rasa belum masa lagi untuk letakkan apa-apa atau dedahkan apa-apa.
“Kami masih dalam fasa perkenalan. Kalau jodoh itu sampai, kita tak boleh tolak, tapi sekarang ini memang kawan sahaja,” jelasnya.
Dalam pada itu, Andy turut mengulas mengenai persoalan sama ada dia bersedia memeluk Islam sekiranya ditakdirkan berjodoh dengan wanita Melayu Muslim pada masa hadapan.
“Soalan itu memang saya sendiri pernah tanya dekat diri saya. Ibu bapa saya penganut Buddha yang sangat kuat.
“Tapi ayah saya pernah tanya, kalau satu hari bercinta dengan orang Melayu, adakah saya akan masuk Islam? Bagi saya, kita kena ikut undang-undang dan saya tak ada masalah dengan perkara itu.
“Kalau jodoh saya dengan orang Islam, itu tak jadi masalah. Cuma sekarang masih terlalu awal untuk saya cakap apa-apa,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal media ada melaporkan Andy Teh didakwa sedang hangat bercinta dengan seorang pelakon wanita, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.
Menerusi perkembangan lain, Andy Teh bakal muncul dalam filem Black Ops, filem kerjasama rentas negara melibatkan produksi Malaysia seperti Skop Productions, Enotech, Astro Shaw, Komet Studios, Marvelous Culture & Film, dan GSC, bersama syarikat penerbitan tersohor Hong Kong, One Cool Films milik bintang terkenal Louis Koo.
Antara bintang yang menjayakan filem ini adalah, Sharnaaz Ahmad, Benjamin Yuen, Hisyam Hamid, Dato’ Aaron Aziz, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani, MK K-Clique, Raja Afiq, Benjamin Tan dan ramai lagi.
Black Ops mengisahkan tentang seorang anggota pasukan Black Ops, Johan didakwa dalam pembunuhan isterinya dan kehilangan anak perempuannya, dia terpaksa berpaling menentang pasukannya sendiri untuk mendedahkan konspirasi berkuasa serta menuntut kembali kehidupannya.
Dengan skala produksi yang luar biasa, barisan kreatif antarabangsa, serta kekuatan jalan cerita dan aksi yang dijanjikan, Black Ops bakal menjadi sebuah filem yang bakal dinantikan tahun ini.