Skip to main content

Hiburan

Angeline Tan Dapat Anugerah Tokoh Maulidur Rasul, Sabri Yunus Bangga Perjalanan Isteri Jadi Teladan Ramai - “Itu Bukan Target Dia, Saya Ajar Dia Untuk…”

dfgfghfgh

Pelakon dan pengarah, Sabri Yunus meluahkan rasa syukur apabila isterinya, pelakon Ardini Angeline Tan, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 2025 bagi Kategori Saudara Baru Cemerlang.

Menurut Sabri atau nama sebenarnya, Mohd. Sabri Yunus, 63, penghargaan itu bukan sesuatu yang Angeline kejar, sebaliknya datang hasil daripada perkongsian ikhlas mengenai perjalanan dan kefahamannya terhadap Islam.

Advertisement

“Pertama sekali saya bersyukur, tapi saya tahu bukan itu sasaran Angeline. Apa yang dia buat, semuanya untuk diri dia sendiri.

“Dia berkongsi apa yang dia belajar dengan kawan-kawan, terutama yang bukan Islam,” katanya kepada Gempak.

Sabri berkata, sejak awal lagi dia menasihati isterinya untuk mendalami agama dengan niat memperbaiki diri, bukan untuk mencari pengiktirafan.

“Saya tunjukkan cara supaya dia boleh berdepan dengan kawan-kawan dan keluarga sendiri untuk memahamkan mereka tentang Islam.

“Mungkin daripada perkongsian kecil itu ada percikan manfaat yang sampai kepada orang lain. Alhamdulillah,” ujarnya.

Sabri juga menganggap pengiktirafan itu sebagai satu motivasi baharu buat Angeline untuk terus menimba ilmu dan mendekatkan diri dengan agama.

“Anugerah ini buat dia lebih semangat nak belajar, nak tahu lebih banyak. Saya rasa Tuhan bagi dia sebab untuk terus mencari dan memperbaiki diri,” katanya.

Sebelum ini, Ardini Angeline Tan berikrar untuk terus menyebarkan mesej Islam yang sebenar kepada masyarakat, khususnya kepada golongan bukan Islam, selepas menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul (Kategori Saudara Baru Cemerlang) 2025.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan turut menyaksikan pencipta kandungan digital Khairul Aming menerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya.

Dalam pada itu, Sabri Yunus kini bakal tampil menerusi filem seram terbaharu Malam Terlarang, arahan Nurhanisham Muhammad (Labu) yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Sofea Jane, Sasha Abedul, Normah Damanhuri, Haneesya Hanee dan Hasnul Rahmat.

Filem itu mengisahkan Mawar (lakonan Shasha), seorang gadis berusia 18 tahun yang terpaksa menangguhkan impian menjadi wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah. Namun, kematian mengejut dalam keluarga membawa kepada gangguan makhluk misteri yang menuntut kebenaran di sebalik tragedi gelap tersebut.

Must-Watch Video

Advertisement