Sekilas
- Filem komedi romantik 'Kata Hati' arahan Nadiah Hamzah menggabungkan elemen cinta, humor dan realiti kehidupan selebriti popular.
- Filem ini menampilkan pelakon baru seperti Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris serta cameo pelakon terkenal tanah air.
- 'Kata Hati' akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026, menjanjikan kisah cinta yang menghiburkan dan menyentuh emosi.
Setelah sekian lama, industri filem tempatan akan diserikan dengan kemunculan filem bergenre komedi romentik yang bejudul Kata Hati.
Mendapat sentuhan Nadiah Hamzah, filem yang diterbiykan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn Bhd. ini menggabungkan elemen percintaan, humor dan realiti kehidupan moden dalam satu naskhah yang segar.
Menurut Muhammad Bahir selaku penerbit, filem ini bukan sebuah kisah cinta semata-mata, tetapi memaparkan realiti yang berlaku dalam dunia sebenar kehidupan seorang selebriti popular.
“Idea menghasilkan Kata Hati muncul apabila sepanjang bekerja dalam industri ini, kami berpeluang bertemu ramai selebriti dan tertarik melihat perbezaan antara persona yang mereka tunjuk di depan kamera dengan kehidupan sebenar di sebalik lensa.
“Jadi kami mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah kisah di sebalik dunia glamor seorang selebriti itu dan disulami dengan sebuah jalan cerita yang mampu menghiburkan penonton,” ujarnya.
Dibintangi barisan pelakon seperti Nia Atasha, Yusof Hashim, Fazziq Muqris, Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman, filem ini mengangkat kisah tentang percintaan yang terjalin antara seorang pelakon wanita popular dengan pemandu e-hailing.
Lebih menarik, filem ini menampilkan ‘cameo’ beberapa pelakon popular tanah air seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon.
Sementara itu, Nadiah Hamzah selaku pengarah menjelaskan antara tarikan pada naskhah terbaharu itu adalah ia menjanjikan pelbagai rencah dan rasa, lalu disatukan dalam sebuah penceritaan yang cukup menarik dan unik.
Ujarnya, setelah menghasilkan filem yang agak berat iaitu Motif sebelum ini, dia memang berniat untuk mengarahkan sebuah filem cinta ringan yang boleh membuatkan penonton bergelak ketawa sambal menangis di pawagam.
“Berkenaan dengan pemilihan pelakon pula - Nia, Yusof dan Fazziq dipilih menerusi sesi casting dan tidak dinafikan mereka antara pendatang baharu dalam dunia layar lebar.
“Namun begitu, apa yang paling mengejutkan buat saya adalah kesungguhan mereka untuk memberikan sebuah lakonan yang mantap dan komitmen ketiga-tiganya memang wajar dipuji,” jelasnya.
Sebagai pengarah, Nadiah berharap penonton dapat merasai sendiri keindahan dan kejujuran dalam kisah cinta yang dipaparkan dalam filem ini.
“Sudah tentu saya mahu penonton datang beramai-ramai untuk meraikan sebuah kisah cinta manusiawi yang bukan biasa-biasa.
“Apa yang boleh saya katakan, ia bakal menyentuh emosi melalui tangisan dan gelak ketawa dan mengingatkan kita semua tentang kemanisan bercinta,” ujarnya.
Filem Kata Hati akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 4 Jun 2026.