Sekilas
- KITA FM mencipta sejarah dengan menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori jarak larian luar tertinggi melalui kempen Satu Suara Satu Malaysia sempena Hari Malaysia Ke-63.
- Kempen melibatkan larian komuniti di 13 stesen radio Astro Audio dengan jarak kumulatif 63 kilometer yang melambangkan perpaduan dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia.
- Selain larian, KITA FM turut menganjurkan Mini Showcase dan program komuniti seperti penggantian topi keledar percuma untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.
KITA FM melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Longest Cumulative Distance Covered in an Outdoor Running Campaign” menerusi kempen KITA FM Satu Suara Satu Malaysia.
Kempen yang diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia Ke-63 itu mendapat sokongan Hurix, Thong Guan, AEON Credit, Google Pixel dan BHPetrol.
Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen KITA FM dalam mendekati pendengar selain menyemarakkan semangat perpaduan.
“Kami amat berbangga apabila KITA FM berjaya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi kempen yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia. Lebih istimewa, pencapaian ini diwujudkan bersempena Hari Malaysia Ke-63 sebagai simbol perjalanan, perpaduan dan semangat kebersamaan yang terus menyatukan rakyat negara ini.
Setiap langkah yang diambil sepanjang kempen ini melambangkan satu suara, satu semangat dan satu Malaysia. Pengiktirafan ini bukan sahaja milik KITA FM, malah milik semua pendengar yang telah bersama-sama menjayakan kempen ini di seluruh negara,” katanya.
Antara aktiviti utama kempen berkenaan ialah larian komuniti yang melibatkan kesemua 13 stesen radio di bawah Astro Audio.
Setiap stesen menganjurkan larian di negeri masing-masing dengan jarak antara tiga hingga lima kilometer, sekali gus menghimpunkan ribuan pendengar di seluruh negara.
Penyertaan di kesemua lokasi tersebut membentuk jumlah jarak kumulatif sejauh 63 kilometer dan melayakkan KITA FM menerima pengiktirafan MBOR.
Angka 63 kilometer itu dipilih sebagai simbolik sambutan Hari Malaysia Ke-63, selari dengan tema Satu Suara Satu Malaysia yang mengetengahkan nilai perpaduan, keharmonian dan kebersamaan.
Selain menggalakkan gaya hidup sihat, larian komuniti tersebut turut menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai kaum, usia dan latar belakang dalam satu aktiviti.
KITA FM memulakan siri siaran luar pada 29 Ogos 2026 sempena Raptai Penuh Hari Kebangsaan sebelum meneruskan siaran langsung pada 31 Ogos 2026 bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya.
Program itu kemudiannya diperluaskan ke beberapa negeri terpilih menerusi pelbagai aktiviti bersama pendengar dan komuniti setempat.
“Kejayaan ini menjadi lebih bermakna kerana ia lahir daripada penyertaan dan sokongan yang diberikan oleh pendengar di seluruh negara. Apabila semua stesen radio Astro Audio berganding bahu menjayakan kempen ini, ia membuktikan bahawa perpaduan boleh dizahirkan melalui sebuah pengalaman yang menyeronokkan dan memberi impak kepada masyarakat.
Ia bukan sekadar sebuah rekod, tetapi menjadi simbol kekuatan apabila rakyat Malaysia bergerak bersama ke arah matlamat yang sama,” tambah Priya.
Selain larian komuniti, KITA FM turut menganjurkan Mini Showcase KITA FM yang menampilkan pelbagai persembahan hiburan di beberapa lokasi termasuk Kuantan, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru.
Program tersebut memberi peluang kepada pendengar untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan personaliti serta jenama radio kegemaran mereka.
KITA FM juga melaksanakan beberapa inisiatif bersama komuniti sepanjang jelajah berlangsung, termasuk program penggantian topi keledar secara percuma di lima lokasi terpilih iaitu Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching.
Inisiatif tersebut diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.
Priya berkata, kejayaan itu turut membuktikan hubungan kukuh antara Astro Audio dan para pendengarnya yang sentiasa memberikan sokongan terhadap setiap inisiatif yang dianjurkan.
“KITA FM merupakan antara usaha terbaik kami untuk menghargai kesetiaan pendengar kepada 13 stesen radio di bawah Astro Audio. Sambutan luar biasa yang diterima di setiap lokasi membuktikan bahawa radio masih mempunyai tempat yang istimewa dalam hati rakyat Malaysia.
Kami merakamkan penghargaan kepada semua pendengar, rakan penaja, rakan strategik dan seluruh warga kerja yang telah memainkan peranan dalam menjayakan KITA FM Satu Suara Satu Malaysia. Sokongan ini membolehkan kami mencipta sejarah, dan kami berharap dapat terus mendekati masyarakat menerusi lebih banyak program yang menarik pada masa hadapan,” katanya.
Pengiktirafan Malaysia Book of Records itu menjadi satu lagi pencapaian penting buat Astro Audio dalam usaha memperkukuhkan hubungan bersama komuniti menerusi pengalaman radio yang lebih dekat dengan rakyat Malaysia.