Penyanyi terkenal, Anuar Zain meluahkan rasa teruja apabila bakal membuat persembahan buat pertama kali di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur menerusi Konsert Healing Nite 2026 yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan.
Menurut Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 55, meskipun sebelum ini pernah tampil di pentas besar seperti Stadium Nasional Bukit Jalil semasa temasya SUKMA 1998 di hadapan lebih 100,000 penonton, konsert kali ini memberi makna yang lebih mendalam kerana lokasinya yang penuh sejarah.
Advertisement
"Saya tidak pernah buat konsert di Stadium Merdeka. Paling besar pun di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan lebih 100,000 penonton sewaktu SUKMA 98.
"Itu sebab saya teruja dapat turut serta dalam konsert healing ini untuk buat persembahan di stadium paling bersejarah dan tinggi nilainya di negara kita.
"Stadium Merdeka merupakan satu sejarah untuk kita semua. Orang patut tahu terutamanya generasi muda, stadium ini antara landmark kita yang sangat berharga untuk negara,” katanya
Anuar berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert Healing 2026 yang diadakan di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur pada Selasa.
Mengulas mengenai konsert, Anuar bagaimanapun berkata dia masih berasa gementar untuk membuat persembahan, namun kehadiran rakan-rakan seperjuangan banyak memberikan semangat buat dirinya.
"Sudah tentu perasaan gementar itu masih ada. Tapi dengan Ella kami dah memang berkawan jadi ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan rasa gementar.
"Sebenarnya sahabat-sahabat ini dapat mengurangkan gementar kita, Dayang pun kawan saya. Kalau sesiapa gementar, masing-masing ada untuk menenangkan. Itu yang paling penting," ujarnya.
Selain Anuar, konsert yang dijadualkan berlangsung pada 24 Januari depan itu juga turut menampilkan penyanyi Ella dan Dayang Nurfaizah selain dua lagi penyanyi Indonesia iaitu Lyodra dan kumpulan Kangen Band.
Konsert Healing Night 2026 mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atau MOTAC sebagai inisiatif yang mampu memperkenalkan budaya serta keunikan seni di Malaysia.
Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi laman web Ticket2u dengan harga bermula RM190 sehingga RM950.