Pelakon, Evertts Gomes akui terkejut selepas memenangi kategori Your Favourite Actors From Malaysia menerusi Contentasia Awards 2025.
Menurut Evertts, kemenangan itu bukan sekadar satu pencapaian peribadi, malah dianggap sebagai rezeki yang besar dalam perjalanan seninya.
“Saya terkejut sebenarnya tapi bersyukur bila dapat tahu berita itu. Satu pencapaian buat saya dalam industri seni.
Advertisement
“Macam saya katakan sebelum ini, saya tidak mengejar anugerah. Apa yang saya lakukan kerana minat dan mahu membantu keluarga saya. Kemenangan ini satu rezeki buat saya,” katanya.
Evertts memenangi kategori tersebut menerusi lakonannya dalam drama Curang Tanpa Niat.
Dalam masa sama, Evertts menegaskan anugerah tersebut adalah milik semua pihak yang sentiasa berada di sisinya sejak awal penglibatan dalam dunia seni.
“Anugerah ini bukan untuk saya sahaja, tapi buat semua yang menyokong saya sejak mula-mula masuk dalam industri. Mereka adalah penguat semangat saya.
“Tak banyak saya boleh katakan tapi terima kasih yang tak terhingga buat mereka semua yang sudah menyokong. Saya akan berikan yang terbaik dalam apa sahaja yang saya lakukan. Terima kasih,” tambahnya.
Turut tercalon dalam kategori sama adalah pelakon Mierul Aiman
Manakala Arabella Ellen pula memenangi kategori Your Favourite Actress From Malaysia.