Penyanyi Anwar Amzah mengakui menyimpan hasrat untuk berduet dengan penyanyi, Dayang Nurfaizah pada masa akan datang.
Advertisement
Menurut Anwar, Dayang memiliki kelas tersendiri dan menganggap peluang menjayakan persembahan pembukaan bagi showcase Janji with Dayang yang berlangsung di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sebagai pengalaman paling berharga dalam hidupnya.
“Dayang adalah idola ramai penyanyi baharu termasuk saya. Kalau diberi peluang berduet dengannya, saya rasa diri ini sangat bertuah. Suara dan auranya berada di kelas tersendiri dan saya yakin banyak perkara yang boleh saya pelajari daripadanya.
“Saya sangat kagum dengan reputasi serta perkembangan kerjaya Dayang sepanjang dalam industri kerana dia sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan,” katanya.
Selain itu, Anwar tidak menyangka berpeluang untuk bergandingan dengan ramai nama besar industri apabila bertindak sebagai pengiring gitar bagi persembahan mereka.
Antara artis tanah air yang pernah bekerjasama dengannya ialah Nadeera, Ernie Zakri, Hael Husaini dan Dolla, manakala dari Indonesia pula termasuklah Raisa, Datuk Seri Rossa, Bernadya dan Fabio Asher.
“Saya masih baharu, jadi peluang sebegini sangat saya hargai. Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus berkarya. Setiap kali mengiringi artis, saya belajar cara mereka mengawal pentas serta berinteraksi dengan penonton.
“Pengalaman ini bukan sekadar bermain muzik, tetapi satu proses pembelajaran tentang standard sebenar dalam industri hiburan. Setiap penyanyi ada keunikan tersendiri dan ia mengajar saya untuk mencari identiti saya sendiri.
“Saya sangat bertuah kerana tidak semua penyanyi baharu diberi ruang seperti ini. Ia jadi pemangkin untuk saya melangkah lebih jauh,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Anwar meluahkan rasa syukur apabila single pertamanya berjudul Imaginasi menerima sambutan positif daripada para peminat.
“Syukur alhamdulillah, Imaginasi mendapat respons baik sejak dilancarkan. Lagu ini dekat dengan jiwa saya kerana ia menceritakan tentang keberanian untuk bermimpi dan mengejar cita-cita tanpa rasa takut.
“Saya sangat terharu apabila ramai pendengar menghantar mesej peribadi mengatakan lirik lagu ini memberi mereka semangat. Itu membuatkan saya lebih yakin bahawa saya berada di landasan yang betul.
“Saya akan terus berusaha menghasilkan karya yang bukan sahaja sedap didengar, tetapi juga memberi makna kepada pendengar,” katanya.
Untuk info, anak muda kelahiran Kluang, Johor ini memiliki pengalaman lebih 12 tahun sebagai YouTuber muzik yang menampilkan teknik fingerstyle.
Anwar telah membina reputasi sebagai pemuzik berbakat besar yang berjaya memikat jutaan tontonan menerusi persembahan akustik yang tular.