Sekilas
- Aron Koh dianugerahkan Fellowship Kehormat oleh British Creative Institute sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam industri perfileman dan pendidikan kreatif di peringkat antarabangsa.
- Penghargaan ini menandakan kejayaan industri kreatif Malaysia dan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berkarya dan bersaing di peringkat global.
- Aron berazam untuk terus memperkasakan ekosistem kreatif negara dengan membimbing bakat baharu dan membawa karya tempatan ke pasaran antarabangsa.
Pengarah, penerbit dan tenaga pengajar industri kreatif, Aron Koh terus mengharumkan nama Malaysia apabila dianugerahkan Fellowship Kehormat sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya kepada industri perfileman dan pendidikan kreatif di peringkat antarabangsa.
Pengiktirafan itu diberikan oleh British Creative Institute (BCI) sempena majlis graduasi institusi berkenaan yang berlangsung baru-baru ini.
Anugerah tersebut merupakan penghormatan tertinggi BCI kepada individu yang memberi impak besar dalam pembangunan industri kreatif menerusi kepimpinan, inovasi dan kecemerlangan profesional.
Aron yang juga Pengarah Program Diploma Filem di MILA University berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja bermakna buat dirinya, malah menjadi simbol kejayaan buat industri kreatif tempatan.
"Pengiktirafan ini bukan milik saya seorang, tetapi milik seluruh penggiat industri kreatif Malaysia yang sentiasa berusaha menghasilkan karya berkualiti dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
"Saya berharap pencapaian ini dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar impian dalam bidang perfileman dan industri kreatif," katanya.
Menurut Aron, sepanjang lebih dua dekad berkecimpung dalam industri, beliau bukan sahaja aktif menghasilkan karya filem, malah komited melahirkan bakat baharu menerusi bidang pendidikan.
Usahanya dalam membimbing generasi muda serta memperkukuh hubungan industri antara Malaysia dan luar negara menjadi antara faktor yang menyumbang kepada pengiktirafan tersebut.

Pada masa sama, Aron menyifatkan penghormatan yang diterimanya sebagai satu tanggungjawab besar untuk terus memperkasakan ekosistem industri kreatif negara.
Beliau berazam untuk terus berkongsi ilmu, membuka lebih banyak peluang kepada bakat baharu serta membawa karya tempatan ke pasaran antarabangsa.
Pengiktirafan itu sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Aron Koh sebagai antara figura yang memainkan peranan penting dalam pembangunan industri filem Malaysia, selain membuktikan hasil kerja anak tempatan terus mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat global.