Skip to main content

Viral

Artis Singapura, Peniaga Didakwa Bertengkar Di Balai Polis

singapore_gaduh

Sekilas

  • Dua lelaki warga Singapura, P Suresh dan Chua Chin Heng, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan bertengkar di Balai Polis Larkin dan mendatangkan kecederaan pada hari yang sama.
  • Suresh mengaku bersalah dan dikenakan denda RM400 serta RM1,500 bagi dua pertuduhan berbeza, manakala Chua dan keluarganya mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM19,000.
  • Pertengkaran dipercayai bermula di sebuah pusat beli-belah selepas insiden tumpahan air minuman bir yang melibatkan isteri Chua, sebelum berlanjutan di balai polis.

Artis Singapura dan seorang peniaga dari republik itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan bertengkar di balai polis, Ahad lalu.

Tertuduh, P Suresh, 46, dan Chua Chin Heng, 56, bagaimanapun masing-masing membuat pengakuan berbeza sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret A Shaarmini.

Suresh yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil itu kemudian dijatuhkan hukuman denda RM400 atau dipenjara satu bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Manakala, Chua yang tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris, dibenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan bertengkar di dalam kawasan balai polis iaitu di Balai Polis Larkin, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) di sini, jam 6.15 petang, Ahad lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau boleh dikenakan denda sehingga RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nabilah Nizam, Suresh dijatuhkan hukuman denda RM1,500 selepas mengaku bersalah mendatangkan kecederaan terhadap Chua dengan cara memukul.

Pada masa sama, di hadapan Shaarmini, Chua bersama isteri, Loe Sou Peng, 55, dan anak tunggal mereka, Axl Chua Kai Jun, 27, mengaku tidak bersalah mendatangkan kecederaan terhadap Suresh juga dengan cara memukul selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah dekat Jalan Serigala di sini, pada jam 5.17 petang, hari yang sama, keempat-empat mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara boleh sampai setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Nor Deana Aqilah Aliman dan Siti Aishah Latif.

Keluarga Chua diwakili peguam Muadz Zulkarnain dan Jagveer singh, manakala Suresh diwakili peguam Mehnagha Luckhamana.

Shaarmini membenarkan keluarga Chua secara keseluruhan diikat jamin RM19,000 dengan penjamin warganegara Malaysia dan menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.

Terdahulu, media melaporkan dua lelaki warga Singapura ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan di dalam kawasan Balai Polis Larkin di IPD JBS.

Kedua-dua lelaki itu terdahulu dilaporkan terbabit dalam pergaduhan pertama antara kedua-duanya di pusat beli-belah, yang didakwa berpunca daripada ketidakpuasan hati apabila ditegur isteri seorang daripada suspek yang mendakwa terkena air minuman bir yang tertumpah selepas salah seorang suspek hampir melanggarnya. - HARIAN METRO

Must-Watch Video

Advertisement