Sekilas
- Pelakon Indonesia, Asmara Abigail, mengakui lebih menyukai ayam gepuk versi Malaysia berbanding versi asal dari Indonesia.
- Asmara menganggap Malaysia sebagai rumah kedua dan memuji kemudahan pengangkutan awam serta suasana hidup di Kuala Lumpur.
- Asmara muncul dalam filem terbaru "Peluru Senja" yang akan ditayangkan pada 28 Ogos, mengisahkan kisah askar Melayu dan British pada tahun 1948.
Pelakon Indonesia, Asmara Abigail mengakui menyukai menu terkenal ayam gepuk di Malaysia berbanding negara asalnya.
Kata Asmara, itu ayam gepuk merupakan makanan kegemarannya setiap kali datang ke Malaysia.
“Saya sangat sukakan ayam gepuk. Biarpun ayam gepuk adalah makanan yang berasal dari Indonesia, tetapi Malaysia menghasilkan ayam gepuk yang lebih sedap,” ujarnya.
Asmara berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Peluru Senja pada Sabtu.
Menyifatkan Malaysia sebagai rumah keduanya, Asmara berkata selain makanan dia juga sangat sukakan infrastruktur di Kuala Lumpur terutamanya daripada segi pengangkutan awam.
“Saya ada sahabat yang tinggal di sini dan pada saya setiap kali datang ke Malaysia tidak kira lah sama ada bekerja atau bercuti, saya pasti akan bertemu sahabat saya.
“Pada saya, bandar Kuala Lumpur sangat hidup dan meriah. Saya sukakan pemandangannya dan saya juga boleh berjalan kaki serta menggunakan pengangkutan awam dengan mudah di sini.
“Sebagai seorang yang datang dari Jakarta, hal-hal sebegini yang membuatkan saya berharap agar kerajaan kami melakukan perkara yang sama untuk negara kami. Saya sayang Malaysia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Asmara muncul dengan filem terbaharu berjudul Peluru Senja.
Selain Asmara, filem itu juga turut dibintangi oleh Fabian Loo dan Hazman Al Idrus.
Bakal menjengah pawagam pada 28 Ogos sempena Hari Kebangsaan, filem bertaraf antarabangsa itu diedarkan oleh MSK Cinemas Sdn. Bhd. dan diterbitkan dengan kerjasama FilmsPositive, LDNO Productions, Limbo Pictures serta Viking Sunset Studios.
Berlatarkan Tanah Melayu pada tahun 1948, Peluru Senja mengisahkan seorang askar Melayu dan seorang askar British yang tertinggal ketika pasukan British berundur.
Dibayangi trauma peperangan, kedua-duanya terpaksa mengetepikan perbezaan apabila sebuah perkampungan berdepan ancaman kumpulan bersenjata.