Sekilas
- Astro Audio melancarkan KITA FM dan Lagu KITA sebagai inisiatif sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat Malaysia.
- KITA FM akan mengadakan jelajah ke beberapa lokasi di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti budaya, persembahan dalam empat bahasa, dan siaran luar menggunakan bas dua tingkat.
- Kempen ini turut menampilkan larian sejauh 63 kilometer yang dijangka mencipta rekod Malaysia Book of Records serta sesi bertemu peminat bersama barisan penyampai Astro Audio.
Astro Audio melancarkan KITA FM dan Lagu KITA sebagai inisiatif khas sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Inisiatif tersebut diperkenalkan bagi menyemarakkan semangat patriotisme, meraikan kepelbagaian budaya serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menerusi platform tersebut, Astro Audio menghimpunkan rakyat Malaysia melalui muzik, hiburan serta pelbagai aktiviti komuniti yang akan berlangsung selama 17 hari bermula 31 Ogos hingga 16 September depan.
Sepanjang tempoh kempen, KITA FM akan menjelajah ke beberapa lokasi di seluruh negara dengan membawa pelbagai aktiviti yang mengetengahkan keunikan masyarakat Malaysia berbilang kaum dan budaya.
Antara tarikan utama termasuk persembahan mini dalam empat bahasa yang menghimpunkan artis serta penghibur tempatan.
Selain itu, siri siaran luar menggunakan bas dua tingkat turut diadakan bagi membolehkan barisan penyampai Astro Audio mendekati pendengar di pelbagai destinasi.
Tidak terhenti di situ, kempen tersebut turut menyaksikan penganjuran larian sejauh 63 kilometer merentasi Malaysia yang dijangka mencipta sejarah serta menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.
Orang ramai juga berpeluang menghadiri sesi bertemu peminat bersama barisan penyampai Astro Audio sepanjang jelajah tersebut berlangsung.
Dalam masa sama, Astro Audio turut memperkenalkan Lagu KITA sebagai simbol kepada semangat perpaduan yang mahu diketengahkan menerusi kempen berkenaan.
Karya tersebut mengangkat mesej kebersamaan, keharmonian serta rasa bangga menjadi rakyat Malaysia.
Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen pihaknya untuk terus menyatukan masyarakat melalui kuasa audio dan hiburan.
“KITA FM dan Lagu KITA merupakan satu platform yang meraikan segala yang menjadikan Malaysia begitu istimewa.
“Dalam dunia yang semakin pantas berubah, kami percaya muzik, hiburan dan pengalaman bersama mempunyai kuasa untuk menyatukan masyarakat merentasi latar belakang, budaya dan bahasa.
“Melalui inisiatif ini, kami ingin membawa rakyat Malaysia lebih dekat antara satu sama lain sambil menyemarakkan semangat cintakan negara,” katanya.
Priya berkata, jelajah yang berlangsung dari Hari Kebangsaan sehingga Hari Malaysia itu turut menjadi peluang buat Astro Audio mendekati komuniti di seluruh negara.
“Kami berharap KITA FM dan Lagu KITA akan menjadi platform yang menghubungkan rakyat, mencipta kenangan bersama dan mengingatkan kita bahawa walau berbeza latar belakang, kita tetap satu negara, satu keluarga dan satu Malaysia,” ujarnya.
Pelancaran KITA FM dan Lagu KITA turut disokong HURIX’S, Thong Guan, AEON Credit, Google Pixel, BHPetrol dan DuoPharma.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini mengenai KITA FM, Lagu KITA serta siri jelajah seluruh negara menerusi semua platform digital dan rangkaian stesen radio di bawah Astro Audio.