Skip to main content

Hiburan

Astro Shaw Cinematic Universe Bermula! ‘First look’ Tampil Karakter-Karakter Ikonik

Astro Shaw

Astro Shaw mencipta satu penanda aras baharu dalam industri hiburan Malaysia menerusi pelancaran rasmi Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU), sebuah ekosistem sinematik jangka panjang yang saling berhubung, dirangka untuk mengangkat penceritaan Malaysia ke pentas serantau dan global.

ASCU dibangunkan dengan watak-watak yang membentuk budaya popular Malaysia, sekali gus menandakan satu fasa baharu penceritaan tempatan. Mengambil inspirasi daripada dunia sinematik global dan digabungkan dengan dunia serta watak yang dekat di hati penonton, ASCU dibangunkan untuk berkembang dari masa ke masa dan membolehkan setiap cerita berdiri sendiri, namun tetap menyumbang kepada sebuah mitologi yang lebih besar. 

Lebih daripada sekadar sebuah treler konvensional, ‘First Look’ – Astro Shaw Cinematic Universe: The Beginning merupakan satu gambaran awal bagaimana dunia sinematik Astro Shaw bakal bermula. Dilancarkan di semua platform digital Astro Shaw, ia merupakan satu langkah strategik. 

Astro Shaw Cinematic Universe: The Beginning yang berdurasi hampir empat minit ini menampilkan beberapa watak ikonik Astro Shaw, termasuk Inspektor Sani dan Inspektor Khai daripada francais Polis Evo, Kahar dari High Council serta bayangan ikon adiwira tempatan Keluang Man; sekali gus mengesahkan bahawa dunia yang selama ini terpisah, kini bersatu. 

‘First Look’ ini tidak terikat dengan mana-mana filem atau siri premium sebelum ini. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai permulaan kepada dunia ASCU dan menjawab persoalan bagaimana setiap cerita akan terus berkembang. Ini seterusnya menyumbang kepada sebuah mitologi yang lebih luas dan sentiasa berevolusi. 

Diterajui Pengarah Kreatif dari Astro Shaw, Alfie Palermo, dan diarahkan oleh Sofyank bakat hebat dalam dunia kandungan digital dan VFX tempatan yang banyak bekerjasama untuk karya tempatan dan selebriti antarabangsa; bersama Mshaffuan, di samping sinematografi oleh Nicholas Chin, pemenang Anugerah Sinematografi Terbaik di FFM34. 

Gabungan kepakaran mereka menghasilkan sebuah karya yang mencerminkan aspirasi bertaraf antarabangsa, ketelitian sinematik dan visual, sekali gus menetapkan penanda aras baharu kualiti kandungan buatan Malaysia.

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw: “Hari ini menandakan permulaan rasmi sebuah dunia ASCU mewakili satu anjakan asas dalam cara kami menyatukan penceritaan dan menghimpunkan watak-watak ikonik kami dalam sebuah dunia yang saling berhubung, serta memastikan setiap cerita mengekalkan identiti dan kekuatannya sendiri.

‘First Look’ ini menekankan pendekatan pembangunan jangka panjang, dengan fokus kepada pembinaan asas yang kukuh serta evolusi berperingkat yang digerakkan oleh matlamat yang jelas, ketelitian dan penghormatan terhadap legasi watak-watak ini.

ASCU ialah sebuah alam sinematik yang sedang berkembang, yang direka sebagai platform terbuka bagi menyokong kreator, idea dan watak-watak baharu, sekali gus membuka ruang kepada pencipta-pencipta kandungan di Malaysia untuk membina dunia yang lebih luas dan kisah yang berpanjangan.”

Menerusi ASCU, Astro Shaw meletakkan asas kepada sebuah ekosistem kreatif jangka Panjang dan berbilang platform yang membolehkan pengarah dan pembikin filem meneroka naratif yang saling berkait, memberi peluang kepada bakat-bakat dan pelakon untuk membangunkan kepelbagaian watak merentasi pelbagai judul, memperkasakan penulis dan showrunner membina dunia cerita yang lebih luas, serta membuka peluang baharu kepada jenama dan rakan strategik untuk bekerjasama dalam penceritaan berskala besar. 

ASCU mendapat sokongan WONDA Kopi selaku rakan strategik. 

Astro Shaw Cinematic Universe: The Beginning kini ditayangkan di platform media sosial. Peminat boleh mengikuti perkembangan watak-watak dan fasa seterusnya dalam dunia sinematik Astro Shaw di semua akaun media sosial Astro Shaw. 

Must-Watch Video

Advertisement