Astro Shaw dengan kerjasama Wonda Extra Presso baru-baru ini menganjurkan program ‘Jejak Pamakbul’, satu inisiatif unik yang menggabungkan elemen misteri, cabaran fizikal dan pengalaman interaktif bagi mempromosikan filem seram terbaru mereka, Malam Terlarang.
Lebih daripada 100 peserta menyertai pengalaman menyeramkan itu yang diadakan di lokasi misteri, di mana mereka perlu melepasi pelbagai ujian dan rintangan yang menguji keberanian serta daya tahan.
Advertisement
Program tersebut bukan sekadar kempen promosi semata-mata, sebaliknya bertujuan memperkenalkan watak mitos Pamakbul iaitu entiti laut yang menjadi pusat konflik dalam filem berkenaan kepada orang ramai.
Dengan membawa slogan ‘Stay Strong’, acara itu menyeru peserta untuk berani menghadapi ketakutan dan cabaran, seiring dengan tema keberanian dan nafsu yang diketengahkan dalam filem.
Sebagai ganjaran atas keberanian mereka, peserta menerima hadiah eksklusif termasuk wang tunai RM100, t-shirt edisi khas Malam Terlarang serta jemputan ke acara Gala Premiere filem tersebut.
Inisiatif Jejak Pamakbul turut mencetuskan tular di media sosial apabila ramai peserta berkongsi pengalaman masing-masing yang disifatkan sebagai seram namun menyeronokkan.
Program itu sekali gus memperkukuh keterlibatan peminat terhadap dunia seram Malam Terlarang, yang bakal menghantui pawagam seluruh negara 30 Oktober ini.
Diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad (Labu), Malam Terlarang turut memperlihatkan gandingan pelakon hebat seperti Shasha Abedul sebagai Mawar, Zul Ariffin (Omar), Sofea Jane (Sarimah), Sabri Yunus (Mokhtar), Normah Damanhuri (Mak Noni), Haneesya Hanee (Pamakbul) dan Hasnul Rahmat (Haji Wahid).
Sinopsis
Malam Terlarang mengisahkan Mawar, gadis berusia 18 tahun yang terpaksa menangguhkan impiannya sebagai wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah, dengan bantuan kakak tirinya, Safar. Namun segalanya berubah selepas kematian mengejut dalam keluarga mereka membawa kepada gangguan makhluk misteri yang memaksa Mawar menyiasat rahsia di sebalik tragedi itu.
Dalam masa sama, bapanya Omar sibuk dengan kempen politik bagi menggulingkan ketua partinya, Haji Wahid. Ketika penyiasatan semakin dalam, Mawar berdepan kejadian paranormal mengerikan yang dipandang remeh oleh ahli keluarganya.
Akhirnya, dia dan bapanya perlu berhadapan musuh sebenar untuk membebaskan diri daripada kuasa gelap yang menghantui hidup mereka.
Malam Terlarang menjanjikan gabungan elemen seram, misteri dan emosi, yang bakal membuatkan penonton tidak senang duduk sepanjang tayangannya di pawagam tidak lama lagi.