Sekilas
- Atilia Haron melancarkan lagu terbaru berjudul ‘Dimanakah Kamu Sore Ini?’ yang merupakan balada pop penuh emosi dan kejujuran.
- Lagu ini mengangkat tema jarak, memori, dan ikatan yang tetap kuat walaupun terpisah oleh waktu dan ruang, diinspirasikan dari pengalaman peribadi Atilia.
- ‘Dimanakah Kamu Sore Ini?’ kini boleh didengar di semua platform penstriman digital dan membawa mesej bahawa jarak tidak semestinya bermakna perpisahan.
Penyanyi, Atilia Haron tampil dengan karya terbaharu berjudul ‘Dimanakah Kamu Sore Ini?’ iaitu sebuah balada pop yang menyentuh perasaan dan sarat dengan emosi.
Lagu ciptaan bersama Jinx Chin ini menampilkan sisi penulisan Atilia yang penuh dengan kejujuran emosi, mengangkat tema jarak, memori serta ikatan tidak terlihat yang masih menghubungkan dua jiwa meskipun terpisah oleh waktu dan ruang.
Menurut Atilia, lagu ini lahir daripada pengalaman peribadi yang diterjemahkan secara universal, menjadikannya dekat dengan sesiapa sahaja yang pernah merasai kehilangan atau kerinduan terhadap seseorang yang istimewa.
“Lagu ini ditulis oleh saya bersama Jinx, dengan lirik oleh saya sendiri. Sebuah lagu tentang cinta, rindu, jarak, dan kesetiaan yang tetap utuh walaupun dua hati dipisahkan oleh waktu dan ruang.
“Lagu ini juga merupakan surat cinta saya buat band kegemaran saya yang telah mengajar saya makna ketahanan, kelembutan, keindahan seni yang sejati dan kerinduan.
“Sore adalah salah satu inspirasi terbesar saya, dan lagu ini membawa rasa terima kasih itu bersama-sama.
“Saya selalu tertanya-tanya, adakah akan ada jawapan untuk soalan saya, ‘Dimanakah kau Sore ini?’ Mungkin suatu hari nanti, dalam bentuk yang saya sendiri impikan,” ujarnya.

‘Dimanakah Kamu Sore Ini?’ bukan sekadar sebuah lagu cinta, tetapi sebuah perjalanan emosi yang mengajak pendengar untuk berhenti sejenak, mengingati, dan merasai setiap detik yang pernah bermakna.
Dengan sentuhan vokal Atilia yang lembut dan penuh jiwa, lagu ini turut membawa mesej bahawa jarak tidak semestinya bererti perpisahan sepenuhnya, sebaliknya ia boleh menjadi ruang untuk memahami makna sebenar sebuah hubungan.
‘Dimanakah Kamu Sore Ini?’ kini tersedia di semua platform penstriman digital dan dijangka menjadi antara karya yang dekat di hati pendengar, khususnya mereka yang menghargai keindahan emosi dalam muzik.