Sekilas
- Auddra Zulkifli menekankan pentingnya menunaikan zakat dan bersedekah terutama menjelang Aidilfitri untuk membantu golongan memerlukan.
- Menurut Auddra, makna sebenar raya adalah berkumpul dengan keluarga dan berkongsi kegembiraan tanpa mengutamakan wang semata-mata.
- Beliau juga mengakui mudah berasa simpati dan tidak berkira untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.
Penyanyi, Auddra Zulkifli menitipkan pesan kepada orang ramai tentang kepentingan menunaikan zakat dan bersedekah, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri.
Menurut Auddra yang mesra disapa Oddah, setiap individu yang berkemampuan seharusnya tidak berkira dalam membantu golongan yang memerlukan kerana bukan sahaja mendatangkan pahala, malah mampu mendatangkan kegembiraan.
“Kadang-kadang ada orang kritik kenapa kita bayar zakat atau bersedekah. Bagi saya, sekali-sekala kita memang kena sedekah. Ia pahala dan sebenarnya common sense.
“Kalau kita tengok, saya sendiri beraya dengan keluarga. Tapi ada orang yang mungkin tiada keluarga. Jadi bila kita bayar zakat, sekurang-kurangnya kita boleh membantu mereka,” katanya kepada Gempak.
Ditanya mengenai pengertian raya, Oddah berpendapat Aidilfitri sepatutnya menjadi medan untuk semua orang merasai kegembiraan bersama keluarga tersayang.
“Raya ini tentang balik kampung, berkumpul dengan keluarga dan makan bersama-sama. Itu sebenarnya makna raya bagi saya.
“Bagi saya, duit itu bukan perkara paling penting. Asalkan kita boleh tolong orang lain supaya mereka pun dapat rasa raya, itu sudah cukup,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Auddra mengakui dirinya merupakan seorang yang mudah berasa simpati terhadap orang lain sehingga tidak berkira untuk menghulurkan bantuan.
“Saya memang cepat rasa kesian. Walaupun nampak budak-budak di tepi jalan minta sedekah dan kita tak pasti sama ada betul atau tidak, saya tetap bagi sebab saya rasa kasihan.
“Malah kalau ada orang cakap mereka tak ada duit nak makan, saya akan bayar juga. Bagi saya tak kisah orang itu kaya atau miskin, saya tetap berkawan dengan semua orang,” ujarnya.