Sekilas
- Fasha Sandha memuji bakat lakonan Sharmaine Alexander yang berjaya membawa watak berat dalam drama Kasih Yang Terkorban.
- Fasha berkongsi momen di sebalik tabir babak emosional yang memerlukan mereka menangis bersama-sama.
- Drama Kasih Yang Terkorban akan mula ditayangkan di Slot Tiara, Astro Prima pada 13 Julai 2026 menggantikan Dendam Seorang Mentua.
Pelakon Fasha Sandha tidak lokek memberikan pujian terhadap bakat lakonan pendatang baharu, Sharmaine Alexander yang disifatkan berjaya membawakan watak berat dalam drama Kasih Yang Terkorban.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Fasha berkongsi momen di sebalik tabir penggambaran membabitkan babak emosional yang memerlukan kedua-dua mereka menangis.
“Behind the scene. Momen buat babak berat. Nangis-nangis,” tulisnya.
Dalam masa sama, pelakon berusia 41 tahun itu meluahkan rasa bangga melihat perkembangan Sharmaine yang juga peserta Dewi Remaja 2025 dalam dunia lakonan.
“Daripada pentas pertandingan Dewi Remaja ke dunia lakonan, awak telah membuktikan bahawa bakat, dedikasi dan kerja keras sememangnya mampu menyerlah.
“Saya sayang awak anak mama. Terbanglah lebih tinggi dan nikmati setiap detik perjalanan ini,” katanya.
Perkongsian tersebut kemudian turut perhatian Sharmaine yang mengakui banyak menimba ilmu daripada Fasha sepanjang penggambaran drama berkenaan.
“Terima kasih mama kerana membimbing saya.
“Itu babak paling berat untuk Sara, tetapi mama bimbing saya langkah demi langkah sepanjang penggambaran.
“Mama sangat terbaik sampai saya takut tak mampu ikut momentum lakonan mama. Terima kasih sebab sabar walaupun saya masih banyak yang perlu belajar,” balasnya di ruangan komen
Drama Kasih Yang Terkorban bakal menemui penonton menerusi saluran Astro tidak lama lagi.
Siri ini memulakan tayangan perdana di Slot Tiara, Astro Prima pada 13 Julai 2026 menggantikan Dendam Seorang Mentua.