Sekilas
- Datuk A. Aida tidak selesa apabila lelaki berstatus suami orang cuba mendekatinya tanpa tujuan perniagaan.
- Beliau menegaskan hanya melayan urusan bisnes dan tidak akan melayan ajakan sosial dari lelaki yang sudah berkahwin.
- A. Aida juga mengakui penting untuk sentiasa mengikuti perkembangan platform media sosial seperti Threads, Instagram, dan TikTok dalam industri hiburan.
Penerbit popular, Datuk A. Aida mengakui tidak selesa apabila ada lelaki berstatus suami orang cuba mendekatinya.
Menurut A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, dia tidak mempunyai masalah sekiranya pertemuan tersebut berkaitan urusan perniagaan, namun tidak mahu melayan ajakan yang sekadar bertujuan untuk bersosial atau berkenalan secara peribadi.
“Kejap-kejap ajak saya kopi, awak dah ada bini nak ajak kopi pula.
“Sakitnya hati dengar, mula-mula nak kopi nak bincang pasal bisnes lepas tu nak saja-saja ajak minum kopi, geram kita dengar macam tu, kalau nak ajak kopi pasal bisnes tu nak ke next level tak apa juga.
“Saya tak layan lelaki orang,” katanya kepada Gempak.
Mengulas lanjut mengenai penggunaan Threads, A. Aida mengakui sebagai individu yang terlibat dalam industri hiburan, dia perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan tidak boleh ketinggalan dengan platform yang sedang menjadi perhatian ramai.
“Kita kena mengikuti perkembangan, kita kena up to date, dah sekarang sama Threads, kita pun kena belajar Threads.
“Sebab Instagram dan TikTok, of course saya dah ada. Nak pantau Azeva juga itu objektif utamanya,” tambahnya.
Terdahulu, A Aida menerusi hantaran di Threads mendedahkan dirinya sering diganggu lelaki berstatus suami orang.