Sekilas
- Dato Awie menerima undangan perkahwinan bekas tunangnya, Erra Fazira, dengan Ezwan Zain yang akan diadakan pada 12 Disember, namun dia tidak akan hadir pada akad nikah tersebut.
- Awie merancang untuk menghadiri majlis resepsi pada 27 Disember selepas selesai konsert di Singapura.
- Awie mendoakan kebahagiaan Erra dan menyifatkan wanita berusia 50-an memerlukan suami sebagai penjaga, sambil mengekalkan persahabatan mereka yang sudah lama terjalin.
Dato Awie memberitahu telah menerima undangan perkahwinan bekas tunangnya dan rakan industri, Erra Fazira dengan Ezwan Zain yang akan menjalani akad nikah pada 12 Disember ini.
Awie bagaimanapun memberitahu tidak akan menghadiri majlis pernikahan yang berlangsung pada 12 Disember tetapi berusaha memenuhi undangan resepsi yang diadakan pada tanggal 27 Disember nanti.
“Insya-Allah dia jemput saya tadi pada 27 hari bulan. Saya habis konsert di Singapura 24, 25, 26 saya balik, 27 saya akan pergi,” ujar Awie.
Ditanya mengenai jodoh Erra yang kembali selepas 11 tahun hidup sendiri, Awie mengaku gembira kerana menyifatkan wanita pada usia 50-an memang memerlukan seorang lelaki sebagai suami.
“Alhamdulillah. Saya bila dengar kata dia (kahwin), saya pun gembira.
“Kita orang ni pernah berkawan, bertunang, bergaduh, bersahabat. Jadi saya rasa persahabatan saya perlu diteruskan. Sudah tidak boleh putus lagi .
“Saya mendoakan kebahagiaan dia supaya dia, yalah... apa orang cakap, ceria di masa akan datang.
“Dengan adanya suami yang menjaga kan. Wanita, umur dah 50-an, dia perlukan seorang suami untuk menjaga dia. Saya doakan dia bahagialah, kekal abadi, insya-Allah,” doa Awie.
Erra dan Awie yang sama-sama terlibat dalam Sembilu The Reunion Live In Concert pernah putus tunang pada 1998. Sejak itu mereka menjalin hubungan baik sebagai sahabat dan rakan industri.