Skip to main content

Hiburan

Awie Teruskan Konsert Ulang Tahun Ke-40 Lepas Eddie & Black Tinggalkan Wings

WINGS

Meski berdepan konflik pengunduran dua anggota asal iaitu Eddie (bass) dan Black (dram), Wings tetap akan meneruskan agenda penting iaitu Konsert Ulang Tahun ke-40 WINGS yang dijadual berlangsung pada 28 November ini.

Penganjuran tersebut diteruskan sebagai tanda
penghargaan terhadap empat dekad perjalanan seni kumpulan yang menjadi ikon muzik rock Malaysia sejak tahun 1985.

Advertisement

Menurut Dato’ Eddy Amir Salim, selaku penganjur dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM), Konsert WINGS 40: 4 Dekad Terbang Tinggi dijadual berlangsung pada 28 November 2025 di Idea Live Arena, Damansara, juga menegaskan semua persiapan berjalan lancar.

“Pihak pengurusan menegaskan bahawa semua persiapan berjalan lancar, dan para peminat boleh menjangkakan pengalaman konsert yang epik serta penuh nostalgia.

“Ulang tahun ke-40 ini bukan sekadar persembahan — ia adalah satu penghargaan kepada nama WINGS yang telah menghiburkan peminat selama empat dekad.

“Kami ingin memastikan setiap penonton membawa pulang kenangan indah bersama lagu-lagu ikonik WINGS,” katanya dalam kenyataan rasmi yang diedarkan kepada media.

Eddy turut  mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Eddie dan Black.

Terdahulu Eddie dan Black secara bersama memberi kenyataan telah meninggalkan vokalis, Awie dan Wings pada 8 Oktober 2025.

Tanpa menyatakan secara terperinci mengenai keputusan meninggalkan Wings, Eddie dan Black juga mengumumkan tidak akan terlibat dengan konsert 40 tahun kumpulan itu yang dijadual pada bulan hadapan.

Selain Eddie dan Black, pemain gitar Wings, Joe telah meninggalkan kumpulan itu pada tahun 2017.

Kini Awie ditemani Edrie Hashim dan Sham yang menyertai Wings pada 2018.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement