Sekilas
- Ayden, anak kepada Bella Astillah, memberikan ucapan menyentuh hati pada majlis resepsi ibu dan YB Syed Saddiq.
- Ayden dan adiknya, Ara, meluahkan rasa gembira melihat perubahan positif dan kebahagiaan Bella selepas kehadiran Syed Saddiq.
- Ayden menghargai Syed Saddiq yang menerima mereka sebagai sebahagian daripada keluarga dan menyayangi Bella sepenuh hati.
Anak kepada pelakon Bella Astillah iaitu Ayden memberikan ucapan menyentuh hati buat ibunya, Bella Astillah dan YB Syed Saddiq pada majlis resepsi yang berlangsung pada Ahad.
Lebih menyentuh perasaan, Ayden menyampaikan ucapan tersebut bersama adiknya, Ara, sambil meluahkan perasaannya melihat perubahan dalam kehidupan Bella selepas kehadiran Syed Saddiq.
Menurut Ayden, meskipun dia dan Ara tidak memahami sepenuhnya segala yang berlaku, dia hanya mahu melihat ibunya kembali tersenyum dan bahagia.
“Saya dan Ara, kadang-kadang saya tak berapa faham dengan semua benda yang berlaku.
“Saya cuma tahu yang Mommy tengah sedih dan sebagai anak lelaki dia, satu-satunya perkara yang saya mahukan adalah untuk melihat Mommy tersenyum semula.
“Kemudian, awak (Daddy) hadir dalam hidup dia. Perlahan-lahan, saya mula nampak mommy lebih banyak tersenyum, dan lebih banyak mendengar dia ketawa. Saya nampak mommy kembali gembira semula,” katanya sebak.
Malah, Ayden juga menyatakan dia sangat menghargai layanan Syed Saddiq yang menerima dirinya dan Ara sebagai sebahagian daripada keluarga, sekali gus membuatkan mereka berasa disayangi dan diterima seadanya.
“Awak terima kami seadanya. Awak tak pernah buat kami rasa yang kami ni cuma sekadar anak Mommy saja.
“Awak buat kami rasa yang kami juga adalah sebahagian daripada keluarga awak. Terima kasih kerana memilih Mommy. Terima kasih kerana menyayangi dia,” ujarnya.
Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.