Skip to main content

Viral

Ayu Damit Pernah Dilabel Tak Cantik, Tiada Masa Depan - "Saya Pun Manusia Biasa, Ada Perasaan... Sampailah Saya Alami Kemurungan"

ayu-damit

Sekilas

  • Penyanyi Ayu Damit berkongsi pengalaman dikecam kerana imej kampung dan wajah desa yang memberi kesan kepada kesihatan mentalnya sehingga mengalami kemurungan.
  • Ayu mendapatkan bantuan Dr Hisham Dzakiria yang membantu menenangkan emosi dan mengajar cara mengawal reaksi terhadap kritikan negatif.
  • Healing Centre Dr Hisham Dzakiria di Shah Alam ditubuhkan untuk membantu masyarakat mengatasi masalah kesihatan mental dengan pendekatan tanpa stigma dan sokongan profesional.

Penyanyi Ayu Damit mengakui sepanjang 18 tahun berada dalam industri hiburan, dia sering dilabel mempunyai imej kampung, tidak cantik dan tidak sesuai menjadi penyanyi kerana berwajah desa.

Jelas Ayu, tanggapan negatif dan kecama sedemikian pernah memberi kesan besar sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya.

“Saya pernah sangat kecewa, terasa hati dan tersinggung. Bila orang kata wajah saya kampung, tak cantik, tak sesuai jadi penyanyi.

“Lama kelamaan ia masuk ke dalam kepala. Dari situ saya mula alami kemurungan,” luah Ayu.

Namun, tekanan tidak terhenti di situ. Apabila Ayu cuba memperbaiki penampilan dengan mengenakan pakaian yang lebih kemas dan cantik setiap kali membuat persembahan, masih ada pihak yang mempertikaikan usahanya itu.

“Bila saya cuba tampil lebih cantik, orang kata saya berlebihan. Bila saya jaga penampilan, masih ada yang tak puas hati. Apa sahaja yang saya buat, tetap salah,” katanya.

Lebih menyakitkan hati, Ayu turut berdepan tuduhan melampau apabila ingin kelihatan menarik di atas pentas. Ada yang melabelnya seksi, malah turut mengaitkan penampilannya dengan didikan suami.

“Ada yang sampai sanggup cakap suami saya tak pandai didik isteri. Ada yang hina cara saya bertudung, kata ketat macam pakai pembalut nangka. Kata-kata macam tu bukan saja hina saya, tapi juga seolah-olah menghina keluarga saya. Saya agak sensitif apabila soal keluarga di sentuh.

“Saya manusia biasa. Saya ada perasaan. Saya boleh kuat di luar, tapi dalam hati hanya Allah yang tahu betapa peritnya saya simpan semua itu.

“Saya belajar untuk berdamai dengan diri sendiri. Saya sedar, nilai seorang wanita bukan terletak pada cantik di mata manusia, tapi pada kekuatan hati dan keikhlasan kita,” ujarnya.

Selepas melalui fasa sukar dalam hidup sehingga berdepan kemurungan akibat tekanan dan kecaman, Ayu Damit mendapatkan khidmat nasihat daripada seorang figura yang kini dikenali sebagai Dr Healing, iaitu Dr Hisham Dzakiria.

Pertemuan itu menjadi titik mula buat Ayu untuk kembali menenangkan diri, menyusun emosi dan melihat semula perjalanan hidupnya dengan lebih jernih.

“Dalam konteks situasi Ayu, kita harus tahu bahawa nama, status atau gelaran bukan sebab utama ujian datang. Setiap manusia akan melalui fasa jatuh dan bangkit dalam hidup.

“Saya selalu ingatkan kepada Ayu, apa yang penting, kita belajar untuk mengawal reaksi dan emosi.

“Jangan beri ruang kepada suara-suara negatif, kerana apabila kita terlalu melayan, kita akan hilang fokus, hilang arah, dan akhirnya hilang diri sendiri.

“Apa yang berlaku dalam hidup ini bukan kebetulan. Ini adalah takdir. Kita wajib terima, setiap takdir itu adalah ketentuan Allah yang terbaik, walaupun kita belum nampak hikmahnya sekarang,” katanya.

Ayu dan Dr Hisham berkata demikian pada acara Grand Opening Healing Centre Dr. Hisham Dzakiria di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Atas keperluan peningkatan kes kemurungan, kebimbangan melampau, konflik hubungan, keletihan emosi serta masalah tingkah laku, Healing Centre Dr Hisham Dzakiria - Pusat Terapi Emosi ditubuhkan sebagai sebuah pusat intervensi yang praktikal, berstruktur dan berorientasikan penyelesaian, khusus untuk membantu individu mencapai kestabilan emosi dan transformasi minda secara berkesan.

“Kami membuka Healing Centre dengan misi untuk menjadikan khidmat kesihatan mental lebih mudah diakses oleh masyarakat. Ini kerana terlalu ramai yang bergelut dalam senyap dengan kemurungan, stres, fobia dan masalah hubungan.

"Kami di sini untuk membantu mereka mencari jalan kembali kepada kesejahteraan.

“Kami percaya kesihatan mental adalah hak setiap individu. Pasukan kaunselor kami komited untuk menyediakan ruang yang selamat, tanpa penghakiman, di mana setiap orang boleh berkongsi beban mereka dan memulakan perjalanan pemulihan dengan sokongan profesional.

“Ramai yang segan atau malu mendapatkan rawatan berkaitan mental kerana stigma masyarakat yang negatif. Sebenarnya meminta bantuan untuk kesihatan mental bukanlah tanda kelemahan, tetapi langkah berani ke arah kehidupan yang lebih baik. Insya-Allah, kewujudan Healing Centre ini mampu menghapuskan stigma tersebut,” katanya.

Healing Centre Dr Hisham Dzakiria adalah subsidiari di bawah syarikat Ecotwin Step
Training & Consultancy Sdn Bhd yang mengendalikan seminar pengurusan kesihatan mental dan perkembangan diri.

Pusat ini boleh dihubungi melalui 010-3243243 untuk janji temu atau datang ke No 12, Jalan Setia Dagang AL U13/AL, Seksyen U13, 40170 Shah Alam. Pusat Healing ini dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Must-Watch Video

Advertisement