Sekilas
- Pelakon Azah Aziz berharap dapat berlakon bersama juara Dewi Remaja 2025, Nylea Adzlan, yang dikatakan mempunyai wajah dan tona kulit hampir serupa dengannya.
- Azah mengakui Nylea adalah peserta kegemarannya dan mengingatkannya kepada dirinya ketika muda, manakala Nylea juga berbesar hati untuk berlakon bersama Azah suatu hari nanti.
- Majlis Watch Party Episod Akhir Dewi Remaja 2025 turut dihadiri oleh beberapa alumni terkenal, dengan Nylea dinobatkan sebagai juara, Nelysa Kay sebagai naib juara, dan Dheper serta Marisa masing-masing di tempat ketiga dan keempat.
Pelakon, Azah Aziz menyatakan hasrat untuk berlakon bersama juara Dewi Remaja 2025 iaitu Nylea Adzlan.
Menurut Azah, wajah mereka mempunyai beberapa persamaan, selain berkongsi tona kulit yang hampir serupa.
“Mungkin satu hari nanti kami boleh berlakon bersama, jadi anak saya. Muka pun dah hampir sama dan kami berdua berkulit sawo matang. Tahniah,” coretnya.
Dalam hantaran yang sama juga, Azah memaklumkan Nylea merupakan Dewi kegemarannya.
Malah, kata Azah, Nylea juga turut mengingatkannya kepada diri sendiri ketika zaman mudanya.
“Tekaan saya tepat sekali, dia memang peserta kegemaran saya. Nylea mengingatkan saya kepada diri sendiri ketika muda,” ulasnya.
Sementara itu, Nylea juga turut meninggalkan komen di ruangan hantaran berkenaan.
Kata Nylea, dia amat berbesar hati sekiranya dapat bergandingan bersama Azah dalam satu naskhah.
“Terima kasih, saya harap dapat berlakon sebagai anak awak satu hari nanti,” tulisnya.

Untuk info, Azah merupakan bekas finalis pencarian Dewi Remaja bagi tahun 1987/1988 yang dimenangi oleh Aleeza Kassim.
Azah hadir di Watch Party Episod Akhir Dewi Remaja 2025 sebagai alumni.
Selain Azah, majlis tersebut turut dihadiri alumni Dewi Remaja dan Hero Remaja yang lain seperti Wan Khatijah, Pushpa Narayan, Mawar Rashid, Arena Wan dan Evertts Gomes.
Acara tersebut juga turut menyaksikan Nylea Adzlan dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja 2025 manakala Nelysa Kay sebagai Naib Juara.
Pemenang tempat ketiga pula jatuh kepada Dheper dan tempat keempat dimiliki oleh Marisa.