Sekilas
- Azar Azmi memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kes mahkamah suaminya dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
- Azar menafikan dakwaan bahawa dia sedang mengumpul dana untuk ikat jamin suaminya dan kini fokus membesarkan anak-anak.
- Azar akan kembali berlakon dalam drama Bulan Henti Bicara dan mengakui berasa gementar selepas lama meninggalkan dunia lakonan.
Atas dasar menghormati proses mahkamah, pelakon, Azar Azmi memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kes mahkamah yang membabitkan suaminya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri.
Menurut Azar atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi, dia menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pihak berkuasa dan tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan prosiding.
“Bab itu memang saya tak boleh nak cakap apa-apa. Sebelum hadir ke mana-mana acara atau berjumpa dengan sesiapa, saya sendiri akan hubungi pihak yang tertentu sekiranya kalau soalan-soalan begini untuk dijawab.
“Jadi, memang tak boleh nak sentuh langsung sebab saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa sebab di bawah kuasa mereka.
“Sebab kes ini masih lagi berjalan dan ini saja yang boleh dikongsi,” katanya kepada Gempak.
Azar berkongi perkara tersebut ketika ditemui di majlis perasmian Astro Fandom bertempat di D Theatre Malaysia, Empire Damansara pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Azar turut menepis dakwaan yang mengatakan dirinya sedang mengumpul dana bagi tujuan mengikat jamin suaminya.
“Kenyataan yang mana itu? Saya tak pernah keluarkan dan salah dakwaan itu.
“Sekarang ini hanya fokus untuk membesarkan anak-anak,” katanya.
Ditanya mengenai perasaan apabila bakal kembali menghiasi kaca televisyen menerusi drama Bulan Henti Bicara, Azar mengakui berasa gementar memandangkan sudah lama dia meninggalkan dunia lakonan.
Walau bagaimanapun, dia bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus berada dalam industri seni.
“Gementar tetapi Alhamdulillah masih ada lagi tempat untuk saya dalam industri ini.
“Memang agak kekok tetapi pengarah banyak beri tunjuk ajar sebab lama saya tinggalkan dunia lakonan dan perlu diasah semula,” ujarnya.
Selain Azar, drama Eyra Rahman itu turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Azhan Rani, Ezzanie Jasny dan ramai lagi.