Sekilas
- Azeva kini serius dalam bidang seni selepas pengalaman ibunya, Datuk A.Aida, yang hampir meninggal dunia akibat masalah kesihatan serius.
- Single pertama Azeva, "Tanpa Rasa Jemu," menampilkan lirik ciptaan ibunya dan menjadi runut bunyi filem Bisikan Nafsu yang akan ditayangkan pada 1 Oktober 2026.
- Peristiwa itu membuatkan Azeva lebih menghargai keluarga dan bertekad memenuhi impian ibunya dalam industri muzik tanah air.
Penyanyi, Azeva mengakui dia terbuka hati untuk lebih serius dalam bidang seni selepas melihat ibunya, Datuk A.Aida dengan masalah kesihatan dan nazak setahun yang lalu.
Menurut Azeva atau nama sebenarnya, Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin berkata, dia sebelum ini tidak pernah menunjukkan minat untuk terjun ke dalam bidang seni namun mengambil keputusan untuk memenuhi kehendak serta impian ibunya.
“Dulu masa saya umur 19 tahun, mama pernah suruh saya untuk masuk ke studio dan rakamkan lagu. Saya jawab saya tak mahu dan saya terus keluar dari studio.
“Tapi kali ini saya pilih dan bersedia untuk rekod lagu ini demi mama saya. Sebenarnya saya berubah hati selepas melihat keluarga melalui ujian yang berat sehingga mama dimasukkan ke ICU, koma selama tiga hari dan terlantar di hospital selama dua bulan.
“Pada ketika itu doktor pun dah beri pesanan pada kami sekeluarga supaya bersiap sedia kerana peluang untuk mama sembuh tipis, berkemungkinan 99 peratus mama saya tak ada.
“Pada waktu itulah saya terfikir, 'selama saya hidup imi, apa yang pernah saya lakukan untuk mama saya?’, tak ada.
“Selepas kejadian itu, saya berdoa ‘Ya Allah, kembalikanlah ibuku. Sekiranya dia kembali, saya janji akan buat semua yang dia suruh’,” kongsinya.
Jelas Azeva lagi, peristiwa itu menyedarkan dirinya untuk lebih menghargai orang yang tersayang.
“Saya syukur sangat bila mama bangun, jadi saya memang nak buat semua apa sahaja yang mama nak.
“Saya sedar bila mama saya koma, kita akan rasa menyesal selamanya jika kehilangan seorang mak.
“Alhamdulillah, mama sedarkan diri balik, saya rasa ini adalah rezeki terbesar saya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Azeva, tampil mempertaruhkan single pertamanya berjudul Tanpa Rasa Jemu.
Menariknya lagi, lagu ciptaan Zul 2By2, Aiman dan Madi Mulyadi itu hadir dengan lirik hasil nukilan ibunya sendiri, Datuk A. Aida menjadi titik permulaan perjalanan seni Azeva dalam industri muzik tanah air.
Istimewanya lagi, Tanpa Rasa Jemu juga turut menjadi runut bunyi (OST) kepada filem Bisikan Nafsu yang mengisahkan seorang lelaki yang terus setia mencintai pasangannya walaupun berdepan ujian yang amat berat.
Filem ini bakal menemui penonton pada 1 Oktober 2026 di pawagam di seluruh negara.