Sekilas
- Azeva lancar single pertama berjudul Tanpa Rasa Jemu yang dicipta oleh Zul 2By2, Aiman dan Madi Mulyadi dengan lirik hasil nukilan ibunya, Datuk A. Aida.
- Lagu ini juga menjadi runut bunyi filem Bisikan Nafsu yang akan ditayangkan pada 1 Oktober 2026 di pawagam seluruh negara.
- Azeva sedang merancang dua projek rakaman lain termasuk versi baharu lagu Sejiwa dan lagu tema untuk sebuah animasi.
Penyanyi baharu, Azeva, tampil mempertaruhkan single pertamanya berjudul Tanpa Rasa Jemu.
Menariknya lagi, lagu ciptaan Zul 2By2, Aiman dan Madi Mulyadi itu hadir dengan lirik hasil nukilan ibunya sendiri, Datuk A. Aida menjadi titik permulaan perjalanan seni Azeva dalam industri muzik tanah air.
Mengulas mengenai lagu tersebut, Azeva berkata, Tanpa Rasa Jemu berjaya mencuri hatinya sejak pertama kali didengarkan.
Susunan muzik yang indah, lirik yang menyentuh jiwa serta dinamik lagu yang kuat membuatkan dirinya yakin karya tersebut adalah pilihan terbaik untuk diperkenalkan sebagai single sulungnya.
“Daripada semua lagu yang saya dengar, Tanpa Rasa Jemu benar-benar menyentuh hati saya. Saya jatuh cinta dengan susunan muzik, lirik dan keseluruhan dinamik lagu ini. Setiap kali mendengarnya, saya rasa tidak puas.
“Lagu ini juga sangat istimewa kerana mama turut terlibat dalam proses pembikinannya, manakala Abang Zul, Aiman dan Madi banyak membimbing saya sepanjang proses rakaman.
“Sebagai lagu pertama saya, pengalaman ini sangat bermakna dan saya amat bersyukur kerana mereka membimbing saya dari A hingga Z tanpa pernah berputus asa," jelasnya.

Tambah Azeva lagi, walaupun tidak mempunyai pengalaman menyanyi secara profesional ketika memulakan rakaman lagu tersebut, namun dia mengakui proses pembikinan Tanpa Rasa Jemu banyak mengajarnya mengenai teknik vokal, sebutan dan kawalan suara.
“Pengalaman mengikuti kelas vokal menjadikan saya lebih yakin untuk membuat persembahan secara langsung.
“Perkara itu sekaligus membuktikan bahawa setiap proses pembelajaran telah membentuk diri saya sebagai seorang penyanyi yang lebih matang,” katanya.
Dalam pada itu, Azeva berharap lagu tersebut akan terus mendapat tempat di hati pendengar dan menjadi lagu yang sentiasa diingati.
"Harapan saya semoga semua orang terus mendengar Tanpa Rasa Jemu. Saya mahu lagu ini kekal di hati pendengar dan menjadi karya yang sentiasa mereka ingati.
“Ini hanyalah permulaan perjalanan saya dalam dunia muzik, dan saya berharap dapat terus berkongsi lebih banyak karya selepas ini," ujarnya.
Azeva turut memaklumkan bahawa dua lagi projek rakaman sedang dalam perancangan, termasuk sebuah versi baharu lagu Sejiwa yang mempunyai nilai sentimental buat keluarganya serta sebuah lagu tema (OST) untuk sebuah animasi.
Istimewanya lagi, Tanpa Rasa Jemu juga turut menjadi runut bunyi (OST) kepada filem Bisikan Nafsu yang mengisahkan seorang lelaki yang terus setia mencintai pasangannya walaupun berdepan ujian yang amat berat.
Filem ini bakal menemui penonton pada 1 Oktober 2026 di pawagam di seluruh negara.
Single sulung Azeva, Tanpa Rasa Jemu yang diterbitkan secara usahasama antara Nova Music Malaysia dan A. Aida Production boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik dan muzik video rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.