Sekilas
- Datuk Aznil Nawawi menegaskan dia lebih suka berkongsi ilmu dan menyokong bakat baru dalam industri penyiaran daripada membandingkan artis lama dan baru.
- Pak Nil aktif membantu pengacara muda melalui sesi siaran langsung dan memberi tunjuk ajar asas pengacaraan sebagai amal jariah.
- Beliau menegaskan cabaran pengacara baru kini lebih berat dengan kritikan hebat, dan penting untuk memberi sokongan agar mereka terus berkembang.
Pengacara terkenal, Datuk Aznil Haji Nawawi menegaskan dia bukan dalam kalangan penggiat seni veteran yang gemar membandingkan kehebatan artis lama dengan generasi baharu.
Sebaliknya, Aznil yang lebih mesra disapa Pak Nil memilih untuk memainkan peranan sebagai orang yang lebih berpengalaman dengan berkongsi ilmu kepada bakat baharu khususnya dalam industri penyiaran.
“Saya bukan jenis veteran yang kutuk artis baru kononnya zaman dulu lebih hebat. Saya melihat diri saya sebagai guru.
“Kadang-kadang saya DM (mesej langsung) terus artis baru ‘Nak belajar tak? Ada benda tak betul hari itu.’
“Sweet Qismina pernah DM saya masa silap sebut dalam program Bintang Kecil RTM, dia nak belajar,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi lanjut, pelakon filem Cicakman ini berpendapat cabaran yang dihadapi penggiat seni masa kini berbeza berbanding ketika dia mula membina nama dalam industri hiburan.
Seperti contoh, golongan pengacara baharu perlu berdepan tekanan seperti kritikan melampau sedangkan mereka masih dalam fasa menimba pengalaman.
“Zaman saya dulu cabaran lain. Budak-budak sekarang kalau kena kritik, perlu betulkan semalaman.
“Kasihan mereka baru nak belajar tapi semangat dah kena patahkan. Nanti yang tinggal pengacara tua saja, mana nak datang pengacara baru?,” tambahnya.
Berkongsi mengenai pendekatan yang digunakannya dalam membantu bakat baharu, Pak Nil memaklumkan antara yang dilakukannya adalah dengan memberi sokongan kepada mereka menerusi sesi siarang langsung di media sosial.
Tambah Pak Nil, dia juga tidak keberatan berkongsi ilmu asas pengacaraan kepada mereka yang mahu belajar kerana menganggap usaha tersebut sebagai bekalan amal jariah.
“Masa saya buat Malaysian Host Wanted, saya nak hos terbitkan program sendiri macam saya buat Macam-Macam Aznil dan Tom Tom Bak.
“Bila saya jadi juri, formula nak menang senang saja, buat benda yang saya tak pernah nampak.
“Saya sangat menghargai bakat baru termasuk yang buat siaran langsung dalam TikTok. Kadang-kadang saya masuk bagi hadiah singa untuk beri semangat.
“Saya terbuka untuk ajar ilmu asas. Ilmu asas kena kukuh selepas itu terpulang nak bawa cara sendiri.
“Selagi saya masih hidup, umur dah 64 tahun, selagi ada inilah saham akhirat saya nanti,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, kredibiliti pengacara dalam mengendalikan sesuatu acara menjadi perbualan selepas beberapa nama popular, termasuk Daniel Cheang dan Radin Era, berdepan kritikan orang ramai berhubung cara mereka mengendalikan acara tertentu.