Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kata-kata semangat buat penyanyi, Aina Abdul yang bakal membawa nama Malaysia di pentas Eurovision Asia 2026.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Anwar menyifatkan penyertaan Aina dalam Eurovision Asia sebagai bukti bakat anak tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Selamat maju jaya buat Aina Abdul yang akan membawa nama Malaysia di pentas sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand pada 14 November ini.
"Penyertaan Aina membuktikan bakat dan karya anak Malaysia mampu melangkah jauh serta bersaing di pentas antarabangsa. Pastinya, seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian ini.
"Saya mendoakan agar Aina dapat memberikan persembahan terbaik dengan penuh keyakinan dan semangat. Menang atau sebaliknya, Aina tetap kebanggaan kita semua.
Terbang tinggi, Aina!," tulisnya.
Untuk rekod, Aina bakal mewakili Malaysia menerusi lagu berjudul Bluest Sky dalam Eurovision Song Contest Asia 2026 yang dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 14 November ini.