Sekilas
- Didie Shazry merancang untuk berpindah ke Jakarta tahun ini bagi memperluaskan kerjaya muziknya dan akan bolak-balik antara Malaysia dan Indonesia.
- Dia menerima tawaran kerjasama daripada penyanyi terkenal Indonesia seperti Tulus, Nadhif Basalamah, dan Kris Dayanti untuk menghasilkan karya bersama.
- Langkah ini dianggap penting untuk perkembangan karier Didie sebagai penyanyi dan komposer serta memperkenalkan muziknya ke pasaran lebih luas.
Penyanyi dan komposer, Didie Shazry bakal membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya apabila merancang untuk berpindah ke Jakarta, Indonesia bagi memperluaskan kerjaya muziknya.
Menurut Didie, keputusan itu dibuat selepas melihat lebih banyak peluang dalam industri muzik Indonesia.
“Betul, rancangannya mungkin dalam tahun ini saya akan pindah ke Jakarta, tapi masih menetap di sini cuma akan bolak-balik Indonesia –Malaysia.
“Saya ambil keputusan untuk pindah ke sana sebab senang untuk bekerja, Saya sendiri banyak buat lagu dan ada banyak peluang di sana,” katanya kepada Gempak.

Tambah Didie, antara perkara yang membuatkan dia teruja ialah apabila menerima beberapa tawaran kerjasama daripada nama besar dalam industri muzik Indonesia.
Menurutnya, dia sudah menerima pelawaan daripada penyanyi terkenal Indonesia, Tulus, untuk menghasilkan karya bersama, selain peluang bekerjasama dengan Nadhif Basalamah dan Kris Dayanti.
“Setakat ini saya sudah menerima pelawaan daripada Tulus untuk menulis lagu bersama termasuk untuk bekerjasama dengan Nadhif dan Kris Dayanti.
“Jadi bagi saya ini satu peluang besar untuk saya dan ini merupakan impian setiap penyanyi. Dan alhamdulillah ini rezeki saya jadi saya tak mahu sia-siakan peluang ini,” ujarnya lagi.

Didie turut menganggap langkah tersebut sebagai satu fasa penting dalam kariernya untuk berkembang sebagai seorang penyanyi dan komposer, selain memperkenalkan karya muziknya ke pasaran yang lebih luas.
Sekadar info, nama Didie mula dikenali selepas bergelar juara Raise The Star Malaysia.
Didie juga menyanyikan lagu Peganglah Hati ciptaan penyanyi dan komposer, Aina Abdul menerusi program tersebut.
Dalam pada itu, anak kelahiran Sabah ini turut menerbitkan album sulungnya iaitu Demi Sebuah Rindu.