Skip to main content

Berita Tempatan

Bakal Jadi Isteri Mr E, Erra Fazira Harap Pernikahan Ketiga Jadi Penutup Indah

erra_ezwan

Sekilas

  • Erra Fazira akan berkahwin dengan Ezwan Zain pada 12 Disember ini di Shah Alam selepas lebih setahun menjalin hubungan.
  • Majlis pernikahan dan resepsi akan diadakan secara kecil-kecilan bersama keluarga dan teman terdekat tanpa melibatkan peminat secara langsung.
  • Erra berkongsi video muzik lagu Cinta Abadi 2025 yang akan dilancarkan serentak dengan hari pernikahannya pada 12 Disember.

Primadona filem alaf baharu, Erra Fazira sebak dan menitiskan air mata sewaktu mengumumkan bakal menjadi isteri kepada kekasihnya, Ezwan Zain pada 12 Disember ini di Shah Alam, Selangor.

Menurut Erra, 51, tangisan tersebut bukan air mata sedih sebaliknya bahagia kerana mengenang banyak perkara ‘turun naik’ yang telah dilalui sepanjang bergelar ibu tunggal sejak tahun 2014.

“Saya rasa sebak sebab  membayangkansudah lalui banyak fasa kami akhirnya sepakat untuk mendirikan rumah tangga. Tak ada kata tidak nervous, takut sebab kesakitan dulu yang tidak mahu dilalui lagi.

“Yelah selama ini pun kami sudah selesa hidup solo. Begitu juga dengan Mr E pun sudah lapan, sembilan tahun hidup solo. Masing-masing sudah ada keselesaan masing-masing.

“Fitrah manusia, pada usia seperti ini kami lebih kepada nak berteman, biarlah buat cara yang betul. Semoga dapat keberkatan,” kata Erra sewaktu ditemui media di The Courtyard by Marriott Kuala Lumpur selepas melancarkan video muzik lagu Cinta Abadi 2025 yang boleh mula ditonton serentak pada hari pernikahannya.

Pada pertemuan sama, Erra yang menjalin hubungan asmara lebih setahun dengan usahawan berusia 44 tahun itu juga berharap agar pernikahan dengan Mr E menjadi yang terindah dan terakhir.

“Harap ini (pernikahan) terindah dan penutup,” kata Erra.

Erra sebelum ini pernah dua kali mendirikan rumah tangga sebelum menjadi ibu tunggal lebih sedekad.

Perkahwinan pertama didirikan bersama Datuk Yusry Abdul Halim sementara yang kedua dengan Engku Emran dan mereka memiliki seorang anak, Engku Aleesya.

Ezwan juga merupakan seorang duda dan memiliki seorang anak perempuan.

Bercakap mengenai pemilihan tarikh 12 Disember sebagai tanggal pernikahan ketiganya, Erra memberitahu tiada sebab yang signifikan.

“Tiada sebab tertentu hanya kami mahu menikah pada tahun ini. 12. 12 adalah tarikh yang cantik dan sesuai sebelum semua orang bercuti,” jelas Erra.

Pasangan yang bakal menikah pada pagi 12 Disember ini akan melakukan majlis resepsi bersama keluarga dan teman terdekat pada 13 Disember sebelum merayakan cinta mereka dengan rakan lain pada 27 Disember.

Sambil meminta maaf, Erra memberitahu tidak akan mengadakan majlis keraian bersama peminatnya.

“Ini bukan perkahwinan pertama saya jadi cukuplah untuk keluarga dan teman baik sahaja. Saya buat secara kecil-kecilan. Buat peminat saya minta maaf tiada majlis bersama anda semua tetapi persiapan semua majlis kami akan mula boleh ditonton menerusi YouTube kami bermula 5 Disember ini,” kata Erra.

Must-Watch Video

Advertisement