Bekas suami kepada penyanyi Siti Saerah, Saiful Anuar, mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu hangat yang melibatkan dirinya ketika ini.
Menurut Saiful, keutamaannya kini adalah menjaga emosi dan perasaan anak-anak serta menghormati semua pihak yang terlibat.
Advertisement
Malah Saiful menegaskan bahawa segala persoalan akan dijawab selepas tamatnya program Talk To My Manager yang sedang berlangsung.
“Untuk kejadian minggu lepas itu, saya akan komen mungkin selepas habis program ini, insya-Allah. Saya tidak mahu mengganggu emosi anak-anak.
“Tak apalah. Saya tak boleh nak jawab lagi untuk soalan ini. Saya akan huraikan kemudian. Saya nak jaga hati anak-anak dan juga semua pihak,” ujarnya.
Saiful berkata demikian ketika ditemui selepas konsert separuh akhir program Talk To My Manager yang berlangsung di Majlis Bandaraya Shah Alam pada Ahad.
Mengulas mengenai hubungan dengan anak lelaki mereka iaitu Ahmad Daiyan atau lebih mesra dengan panggilan Amad, Saiful berkata dia masih berhubung dengan anaknya itu, namun kekangan jarak menjadi halangan utama untuk mereka bertemu.
“Soal Amad, saya ada berhubung dengan dia cuma gap untuk kita berjumpa itu… Sebab saya jauh, dan ini pun saya akan balik ke Kuantan kembali. Kiranya untuk program ini sahaja saya datang,” ujarnya.
Terdahulu, perkongsian Saiful dalam Instagram minggu lalu menjadi perhatian ramai selepas mendakwa dia tidak dapat bertemu anaknya ketika membuat persembahan di Kuantan, Pahang.
Bagaimanapun Saiful berkata, hantaran dibuat dalam Instagram yang kini telah dipadam ditujukan kepada individu yang mengawasi anak-anaknya bukan kepada Saerah.