Ringkasan AI
- Yana Samsudin hadir ke majlis konvokesyen UMPSA walaupun masih dalam tempoh berpantang hari ke-30 selepas bersalin secara pembedahan caesarean.
- Tarikh konvokesyen bertembung dengan tarikh jangka bersalin, namun Yana memilih untuk bersalin awal supaya dapat hadir majlis tersebut.
- Yana berjaya menamatkan pengajian Sarjana dalam Pengurusan Korporat dengan sokongan keluarga terutama suami dan ibunya.
- Beliau mengimbau cabaran mengimbangi kerjaya seni, rumah tangga, dan membesarkan dua anak sepanjang tempoh pengajian lebih dua tahun.
- Yana berharap usaha dan semangatnya dapat menjadi inspirasi kepada anak-anak dan orang lain untuk terus belajar dan berusaha.
Pelakon dan pengarah, Yana Samsudin membuktikan semangat luar biasa apabila tetap menghadiri majlis konvokesyennya di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meskipun masih dalam tempoh berpantang hari ke-30 selepas melahirkan anak.
Menerusi satu video yang dikongsikan di akaun TikTok rasmi UMPSA, Yana atau nama sebenarnya Norzalina Samsudin, berkata dia tidak mahu melepaskan peluang untuk hadir ke majlis bersejarah itu walaupun baru sahaja melalui pembedahan caesarean sebulan lalu.
@umpsamalaysia Tahniah buat pelakon dan usahawan terkenal, Yana Samsudin, yang turut sama meraikan detik bersejarah di Majlis Konvokesyen Ke-20 UMPSA! Beliau kini secara rasminya bergelar graduan UMPSA. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama kami dalam sesi temu bual eksklusif. #umpsa #umpsamalaysia #teknologiuntukmasyarakat #konvokesyenumpsa2025 #konvoumpsa20 ♬ original sound - UMPSA Malaysia
“Saya masuk pantang 30 hari ni… tapi semangat untuk datang konvo memang kuat. Ikutkan, tarikh due saya sebenarnya sama dengan hari konvokesyen.
“Tapi sebab saya lahirkan awal, alhamdulillah dapat hadir juga hari ini. Ini semua rezeki Allah,” katanya.
Pengarah filem Selamat Pagi Cinta itu turut memaklumkan kejayaan menamatkan pengajian Sarjana dalam Pengurusan Korporat (Master in Corporate Management) itu merupakan hasil dorongan keluarga, terutama suami dan ibunya yang banyak memberi semangat sepanjang tempoh pengajian.
“Saya nak ucap terima kasih kepada suami dan mak saya yang sentiasa mendorong untuk habiskan Master ni.
Kalau rasa dah terlewat, SPM tak okay pun, tak apa, buat balik.
“Belajar dulu, kerja dulu. Banyak peluang yang boleh kita capai kalau ada semangat,” ujarnya.
Menurut Yana, perjalanan menyiapkan pengajian selama lebih dua tahun itu bukan perkara mudah, lebih-lebih lagi apabila perlu membahagikan masa antara kerjaya seni, urusan rumah tangga dan membesarkan dua anak.
“Saya habiskan Master ni dengan dua kali bersalin. Memang susah, tak cukup tidur, tapi bila fikir anak-anak, saya nak mereka nampak usaha Mommy dia,” katanya lagi.
Sebelum ini, Yana turut berkongsi di media sosial mengenai dilema yang dihadapinya apabila tarikh konvokesyen bertembung dengan tarikh jangka bersalin.
Bagaimanapun, selepas berbincang dengan doktor, dia memilih untuk menjalani pembedahan caesarean lebih awal bagi memastikan dapat hadir pada majlis tersebut.