Sekilas
- Pelakon Elfira Loy berkongsi rasa sebak apabila masih terbiasa melakukan perkara kecil untuk arwah ibunya walaupun sudah tiada.
- Elfira teringat kenangan lama ketika melawat lokasi yang pernah dikunjungi bersama ibunya di Bali dan terasa kehilangan apabila tidak dapat berkongsi gambar dengan arwah.
- Ibu Elfira, Allahyarhamah Filzah, meninggal dunia selepas menjalani prosedur perubatan berisiko tinggi pada awal Ogos lalu.
Pelakon Elfira Loy berkongsi luahan menyentuh hati apabila masih terbiasa melakukan perkara-perkara kecil untuk arwah ibunya meskipun insan tersayang itu sudah tiada.
Menerusi Threads, Elfira memuat naik beberapa foto dipercayai ketika berada di Bali sambil mengenakan baju bertemakan ‘cat mom’ yang dipilih kerana mahukan penampilan lebih selesa.
Namun, kunjungan ke sebuah lokasi yang pernah dikunjungi bersama ibunya mengundang rasa sebak apabila kenangan lama kembali bermain di fikiran.
“Tak bolehlah. Tak boleh pergi tempat yang sama pernah pergi dengan mama.
“Baru nak ambil gambar hantar pada mama, tapi lupa mama dah tak ada,” tulisnya.
Menurut Elfira, kesedihan yang dirasai bukan disebabkan sukar menerima pemergian ibunya, sebaliknya apabila rutin yang biasa dilakukan bersama atau untuk arwah kini tiba-tiba terhenti.
“Tak tahu nak cakap sedih tu macam mana.
“Bukan sedih tak boleh terima mama tak ada, tapi sedih bila kita nak buat sesuatu yang dah biasa buat tu tersekat,” katanya.

Terdahulu, ibu Elfira, Allahyarhamah Filzah, 61, menghembuskan nafas terakhir pada pagi Ahad selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan ditidurkan ketika menerima rawatan di hospital.
Sebelum itu, Allahyarhamah dilaporkan menjalani satu prosedur perubatan berisiko tinggi pada 6 Ogos lalu.
Elfira bagaimanapun tidak memperincikan keadaan kesihatan ibunya ketika itu, sebaliknya hanya memohon orang ramai mendoakan agar prosedur tersebut berjalan lancar.
Sumber: Threads