Sekilas
- Zeppo Youngsterz, kumpulan tarian Malaysia seramai 24 orang, muncul juara pertandingan HARU 2026 di Korea Selatan menewaskan 16 kumpulan dari pelbagai negara.
- Pengarah kumpulan, Faris Azim, menyifatkan kemenangan itu sangat bermakna selepas mereka menghadapi cabaran dan perubahan saat akhir sepanjang persiapan.
- Anggota kumpulan berkongsi pengalaman sukar dan emosi sepanjang perjalanan, namun mereka tetap komited dan berharap pencapaian ini memberi inspirasi kepada komuniti tarian Malaysia.
Kumpulan tarian Malaysia, Zeppo Youngsterz berjaya mengharumkan nama negara apabila muncul juara pertandingan HARU 2026 yang berlangsung di Korea Selatan.
Diangotai seramai 24 orang penari, Zeppo Youngsterz berjaya menewaskan 16 kumpulan beberapa negara termasuk Korea Selatan, China, Switzerland, Jepun, Vietnam dan Jerman.
Pengarah Zeppo Youngsterz, Faris Azim menyifatkan kemenangan itu cukup bermakna buat seluruh pasukan, terutama selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh persiapan.
Menurutnya, mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan situasi tidak dijangka serta membuat beberapa perubahan penting pada saat akhir sebelum pertandingan berlangsung.
“Menjuarai HARU 2026 sangat bermakna buat kami, terutama selepas segala yang dilalui oleh pasukan sepanjang persiapan. Kami terpaksa menyesuaikan diri dengan cabaran yang tidak dijangka dan membuat perubahan sukar pada saat-saat akhir, tetapi semua orang terus memberikan yang terbaik dan mempercayai proses yang dilalui.
“Saya bangga dengan seluruh pasukan kerana kekal komited dan bekerjasama sehingga ke penghujungnya. Kemenangan ini bukan sekadar tentang keputusan, tetapi juga perjalanan, pengorbanan dan individu yang menjayakannya.
“Kami berharap dapat terus membawa karya kami ke pentas antarabangsa dan membanggakan Malaysia,” katanya.
Pengorbanan yang dilakukan sepanjang tempoh persiapan turut diakui oleh anggota kumpulan, Nik Nazran yang menyifatkan perjalanan mereka sebagai sesuatu yang mencabar kerana setiap penari perlu keluar daripada zon selesa untuk menghasilkan persembahan terbaik.
“Perjalanan ini sangat sukar. Ramai antara kami terpaksa keluar daripada zon selesa untuk menghasilkan karya akhir ini. Ia merupakan cabaran besar buat kami semua.
“Pada akhirnya, kami tidak melakukannya demi gelaran semata-mata, tetapi demi seni. Kami berharap pencapaian ini dapat memberikan inspirasi kepada komuniti tarian dan industri kita,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi anggota, Kai Bin berkongsi bahawa perjalanan mereka dipenuhi pelbagai emosi, termasuk kesukaran, perselisihan pendapat, air mata dan kegembiraan.
Namun, semua pengalaman itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berusaha sehingga berjaya mencapai matlamat yang diimpikan.
“Kami bergelut, kami menderita, kami bertengkar, kami menangis, kami ketawa, tetapi kami tidak pernah berputus asa.
“Kerja keras semua orang yang membawa kami sehingga ke tahap ini. Perjalanan ini tidak akan pernah dilupakan,” katan Kai.
Dalam pada itu, Zeppo Youngsterz turut merakamkan penghargaan kepada penaja produk, rakan kreatif serta semua pihak yang membantu menjayakan perjalanan mereka sepanjang HARU 2026.
Sokongan daripada pelbagai pihak tersebut menjadi sebahagian daripada perjalanan Zeppo Youngsterz dalam merealisasikan impian mereka di pentas antarabangsa.