Sekilas
- Pelakon Irfan Zaini anggap peluang berlakon bersama bintang India, C. Joseph Vijay dalam filem Jananayagan sebagai pengalaman paling berharga dalam kerjayanya.
- Filem Jananayagan adalah naskhah terakhir Vijay sebelum bersara, dan Irfan juga berpeluang berlakon dengan pelakon Bollywood Bobby Deol dalam filem yang ditayangkan dalam lima bahasa.
- Irfan bakal membintangi filem Terbang yang diinspirasikan daripada juara dunia pelumba rali Malaysia, Karamjit Singh, dan percaya industri filem tempatan mampu hasilkan karya bertaraf antarabangsa.
Pelakon Irfan Zaini menyifatkan peluang kembali bergandingan dengan bintang popular India, C. Joseph Vijay menerusi filem Jananayagan sebagai pengalaman paling berharga sepanjang bergelar anak seni.
Menurut Irfan, filem tersebut cukup istimewa memandangkan ia merupakan naskhah terakhir Vijay sebelum mengundurkan diri daripada dunia lakonan.
“Memang ‘unbelievable’, ‘surreal’. Vijay bukan seorang yang biasa. Dia ibarat wira di India.
“Daripada pelakon, dia dah jadi Chief Minister of Tamil Nadu. Benda itu memang bukan sesuatu yang senang,” katanya ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran treler filem Terbang di Carfe, baru-baru ini.
Lebih bermakna, Irfan mendedahkan Vijay merupakan individu yang menjadi pencetus minatnya untuk bergelar pelakon.
Katanya, ketika berusia 12 tahun dia juga pernah berlakon dalam filem Kuruvi yang dibintangi aktor berkenaan.
“Masa kecil dulu dia pernah cakap saya ada potensi dan boleh jadi pelakon yang baik.
“Sejak itu saya memang simpan kata-kata dia,” ujarnya.
Irfan berkata, dia bersyukur kerana berpeluang berkongsi layar bersama idolanya sebanyak tiga kali sepanjang kerjaya.
Malah, dia menyifatkan dirinya sebagai rakyat Malaysia pertama dan mungkin juga yang terakhir menerima peluang tersebut memandangkan Vijay tidak lagi akan berlakon selepas ini.
“Saya yang pertama dan terakhir juga dapat berlakon dengan Vijay sebab selepas ini dia dah tak berlakon.
“Dia sendiri cakap itu filem terakhir dia,” katanya.
Selain Vijay, Irfan turut berkongsi layar bersama pelakon Bollywood terkenal, Bobby Deol menerusi filem sama.
Katanya, Jananayagan yang ditayangkan dalam hampir lima bahasa termasuk Tamil dan Hindi turut membuka peluang untuk dirinya dikenali peminat di India.
“Ramai rakyat Malaysia mesej saya. Tak kisahlah Tamil, Melayu atau Cina, mereka rasa bangga sebab pelakon Malaysia dapat pergi sana berlakon dengan pelakon-pelakon lain.
“Selain Vijay, saya juga dapat berlakon dengan Bobby Deol.
“Filem ini keluar dalam hampir lima bahasa termasuk Tamil dan Hindi, jadi bolehlah dikira saya dapat berlakon dalam filem Bollywood juga,” katanya.
Dalam pada itu, Irfan mengakui industri perfileman India menawarkan bayaran yang jauh lebih lumayan kerana mempunyai bajet produksi yang sangat besar.
“Filem di India bajet mereka lagi besar, jadi memang bayaran dia jauh lebih banyak.
“Saya rasa satu filem pun boleh cecah RM300 hingga RM400 juta,” katanya.
Bagaimanapun, Irfan berkata, pengalaman bekerja dalam produksi berskala besar lebih bernilai berbanding soal bayaran.
“Bagi seorang Irfan Zaini yang kecil ini, nak masuk dalam filem itu untuk satu babak pun susah.
“Bila dapat satu watak, saya memang sangat bersyukur.
“Itu pengalaman yang banyak mengajar saya bekerja dalam set penggambaran yang besar,” katanya.
Pada masa sama, Irfan percaya industri perfileman tempatan juga mempunyai kemampuan untuk menghasilkan karya bertaraf antarabangsa.
“Tapi Filem Terbang pun apa kurangnya.
“Set penggambarannya memang gempak. Walaupun bajetnya bukan RM400 juta, saya rasa filem kita juga boleh sampai ke tahap itu,” katanya.
Menerusi perkembangan lain, Irfan bakal menggalas watak utama menerusi filem Terbang arahan Chiu Keng Guan yang dijadualkan menemui penonton di pawagam pada September depan.
Filem tersebut diinspirasikan daripada perjalanan hidup juara dunia pelumba rali Malaysia, Karamjit Singh.
Filem itu turut dibintangi Jack Tan, Zizan Razak, Nam Ron, Shweta Sekhon, Michael Helfman, Diana Danielle, Luqman Hafidz dan Qasrina Karim.