Pelakon Shah Iskandar memaklumkan bayi dalam kandungan isterinya yang berusia 16 minggu disahkan menghidap Sindrom Edwards.
Menerusi perkongsian di Instastory, Shah Iskandar memberitahu doktor ada menasihati dia dan isterinya untuk menggugurkan kandungan tersebut kerana berisiko tinggi.
“Mungkin ada yang tahu atau tidak, isteri saya mengandung bayi ketiga kami dan kandungan sudah 16 minggu tetapi bayi kami dikesan menghidap Sindrom Edwards.
“Bermaksud trisomi 18 atau dalam istilah awam, terlebih kromosom. Lapisan di belakang leher bayi adalah lapisan tebal 4.8cm.
“Doktor ada nasihat untuk induce awal dan gugurkan kandungan kerana menunggu lebih lama lagi bermakna keadaan yang merbahaya untuk Sarah kerana dia baru lepas czer lapan bulan yang lalu dan juga kadar survival bayi adalah sekitar 5%.
“Walaupun dengan keajaiban 5% (kemungkinan besar tidak akan bertahan sebelum EDD), jangka hayat anak yang dilahirkan adalah enam bulan hingga satu tahun diberikan dengan sokongan ringan untuk organ khusus yang diperhatikan,” katanya.
Pada perkongsian yang sama, Shah Iskandar mengakui dia berasa berat hati membuat keputusan namun terpaksa akur mengikut nasihat pakar iaitu kandungan perlu digugurkan.
“Oleh itu, dengan berat hati dan nasihat yang tegas daripada pakar, saya dan Sarah telah memutuskan untuk meneruskan pengguguran kerana kami fikir, ia kejam bagi bayi untuk menanggung akibat daripada bertahan dengan bantuan hayat selama 6 bulan - 1 tahun tempoh masa itu.
“Saya berada di KL sekarang kerana kecemasan ini tetapi terpaksa bergegas pulang ke Singapura selepas pahit ini. Sarah telah warded sejak malam tadi dan telah diinduce kali ke-2 pada pukul 5 petang, Selasa.
“Mohon doakan Sarah keselamatan dan proses pengguguran ini cepat dan semoga puteri kesayangan kami (ya, anak perempuan syurga) menyambut kami di Jannah, InsyaAllah.
“Apa yang saya minta daripada semua orang di sini hanya mahu anak saya Maryam Inara dan isteri saya Siti Sarah dalam doa anda. Terima kasih,” ujarnya.