Sekilas
- Yasin Sulaiman telah dibebaskan selepas lebih empat tahun dipenjara dan setahun menjalani pemantauan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, dengan pengampunan daripada Sultan Selangor.
- Beliau perlu mematuhi syarat tidak meninggalkan ubat dan tidak terlibat dengan kanabis sepanjang hayat selepas pembebasan.
- Yasin kini aktif kembali dalam bidang seni dengan projek lagu kolaborasi dan buku autobiografi yang akan diterbitkan.
Komposer dan penyanyi Yasin Sulaiman tidak henti melahirkan rasa syukur selain menzahirkan terima kasih kepada Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kerana menandatangani pengampunan pembebasan selepas lebih empat tahun ditahan di penjara termasuk setahun terakhir menjalani pemantauan dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak pada 2 September lalu.
“Saya bersyukur dan gembira apabila dibebaskan sudah satu seminggu. Sebelum itu perjalanan berliku dan yang sangat mencabar dan pengalaman hidup paling teruk yang pernah saya lalui.
“Keluar masuk penjara dan kemudian dihantar ke Hospital Bahagia tapi seiring hari kemerdekaan, Sultan Selangor telah menandatangi perintah pembebasan buat saya. Saya sangat bersyukur,” ujar Yasin.
Yasin ditemui selepas seminggu dibebaskan saat menghadiri malam pra tonton teater muzikal Mansur & Liu di Istana Budaya bersama media.
Pada pertemuan sama, pelantun Mimpi Laila itu menjelaskan dia tidak mendapat pengampunan awal atau ‘fast track’ untuk bebas selepas sebelum ini dijatuhi hukuman 30 tahun penjara. Sebaliknya kata Yasin, dia melalui semua proses sehingga mendapat pengampunan Sultan Selangor.
“Saya tidak diberikan laluan mudah (pembebasan awal) tetapi pihak hospital berpuas hati dengan rawatan dan saya stabil. Selama satu tahun setengah saya di Hospital Bahagia, saya rutin mengambil ubat dan rekod saya baik. Kemudian enam bulan seterusnya barulah melalui proses pembebasan. Saya melalui semua proses sehingga dapat pengampunan Sultan,” jelas Yasin.
Namun kata Yasin, pembebasan yang diberikan bukan bermakna dirinya boleh ‘bebas’, sebaliknya dia memberitahu perlu mematuhi dua syarat yang telah ditetapkan.
Ujarnya: “Pembebasan saya daripada Hospital Bahagia ini bergantung kepada dua syarat. Pertama, saya tidak boleh meninggalkan ubat sampai akhir hayat. Dan keduanya saya tidak boleh terlibat kanabis lagi.”
Penjara ganas, kotor
Malah Yasin sendiri bertekad untuk menjalani hidup dengan lebih baik dan beberapa kali menegaskan tidak akan terlibat dengan kanabis kerana pengalaman yang dilalui selama lebih empat tahun setengah dipenjara dan dipantau di Hospital Bahagia bukan sesuatu yang mudah.
Yasin menyifatkan episod kanabis dalam hidupnya sehingga dipenjara sebagai sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata serta paling teruk pernah dilalui.
“Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, pengalaman paling teruk saya lalui dijatuhi 30 tahun penjara, kalau panjang umur saya keluar usia 80 tahun, kalau tidak meninggal dalam penjara.
“Penjara bukan tempat yang senang. Penjara tempat yang ganas, kotor, teruk, penghinaan. Jangan masuk penjara,” katanya sebelum menyambung: “Hospital jauh lebih baik daripada penjara.”
Kini setelah seminggu bebas, Yasin mengaku semuanya berjalan pantas. Dia kembali rancak menyusun karier terutama selepas mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggiat seni.
Antara projek yang akan dilakukannya termasuklah melancarkan single kolaborasi bersama Malique dan Zizi Kirana, Yang Tinggal serta menerbitkan buku autobiografi 400 muka surat yang ditulis sepanjang berada di sebalik tirai besi.
“Dalam penjara saya banyak menulis lagu dan kemudian semasa di Hospital Bahagia sempat merakamkan lagu bersama Malique dan Zizi Kirana yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.
“Buku autobiografi setebal 400 muka surat tentang perjalanan hidup saya termasuk di penjara juga akan diterbitkan,” kata Yasin yang mengakui merindui kehidupan normal.
Yasin pada 22 Ogos 2024 dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.
Hakim Datuk Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang sebelum itu melepas dan membebaskan penyanyi serta komposer berkenaan daripada semua pertuduhan.
Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Yasin daripada tiga pertuduhan dadah, namun memerintahkan beliau ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.
Bagaimanapun, pada 28 April 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Yasin terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam. Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali sebulat suara mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan yang dijatuhkan terhadap penyanyi dan komposer itu.
Mahkamah Rayuan turut mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November 2023 yang melepas dan membebaskan Yasin daripada tiga pertuduhan dadah atas alasan beliau berada dalam keadaan tidak waras ketika kesalahan dilakukan.
Dalam keputusan sama, mahkamah mengekalkan perintah supaya Yasin ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, mengikut perkenan Sultan Selangor. Mahkamah antara lain menerima keterangan pakar psikiatri forensik bahawa Yasin mempunyai sejarah gangguan bipolar yang didokumenkan sejak beberapa tahun sebelum kejadian.