Sekilas
- Prosiding cerai dan pengesahan lafaz taklik antara Linda Hashim dan Beego di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur ditangguhkan ke 21 Januari 2026 selepas Beego gagal hadir.
- Peguam Linda memohon perhatian serius terhadap ketidakhadiran Beego yang berulang kali gagal hadir tanpa bukti sah, manakala peguam Beego menjelaskan ketidakhadiran disebabkan kematian ibu saudara Beego.
- Linda memfailkan perceraian pada Januari 2023 atas alasan tiada persefahaman, selepas pasangan itu pernah bercerai talak satu dan rujuk semula sebelum berpisah lagi.
Prosiding cerai dan pengesahan lafaz taklik membabitkan pelakon Linda Hashim dan suaminya, Beego di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini ditangguhkan ke tahun hadapan selepas defendan gagal hadir ke mahkamah.
Peguam yang mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin memaklumkan mahkamah telah menetapkan tarikh baharu sebutan semula kes tersebut pada 21 Januari 2026.
Menurutnya, pihaknya juga memohon agar mahkamah memberi perhatian serius terhadap kegagalan defendan hadir ke prosiding meskipun kes telah difailkan hampir setahun lalu.
“Hari ini kami bangkitkan isu kehadiran defendan kerana sepanjang saya mengendalikan kes ini, pihak defendan telah beberapa kali gagal hadir dan pihak peguam defendan juga tidak mengemukakan sebarang bukti seperti sijil sakit atau surat kematian di mahkamah setakat hari ini.
“Kes ini didaftarkan sejak Januari dan kini sudah Disember. Kami melihat seolah-olah ada percubaan untuk melambat-lambatkan prosiding, sedangkan perkara yang boleh dipermudahkan tidak dipermudahkan,” katanya.
Tambah Nurul Fadzilah, pihaknya turut memohon agar kes pengesahan lafaz taklik ini digabungkan dengan kes lama, selain memohon peringatan keras serta kos kehadiran daripada mahkamah.
“Hakim mendengar hujahan kami dan akhirnya memberikan satu lagi peluang kepada pihak defendan dengan peringatan keras bahawa beliau wajib hadir pada sebutan semula akan datang,” jelasnya.
Prosiding tersebut dikendalikan oleh Hakim Tuan Fareq Azmi, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Sementara itu, peguam yang mewakili Beego, Muhammad Akmal Amzan menjelaskan ketidakhadiran anak guamnya hari ini adalah disebabkan kematian ibu saudara Beego.
“Difahamkan, semalam ibu saudara Beego meninggal. Jadi dia mungkin dalam perjalanan ke sana. Walaupun difahamkan jenazah sudah dikebumikan, dia tetap bergegas ke sana dan sebab itu tidak dapat hadir hari ini,” katanya.
Mengulas dakwaan pihak plaintif bahawa anak guamnya sengaja melengahkan prosiding, Muhammad Akmal menafikan perkara tersebut.
“Saya nak tegaskan, kali pertama kehadiran tidak dikira kerana saman belum sempurna. Kali kedua, anak guam saya tidak hadir disebabkan masalah kesihatan. Hari ini adalah kali ketiga, jadi sebenarnya kalau ikut kehadiran, dua kali sahaja tidak hadir, bukan tiga.
“Tak ada isu pun kerana kami sudah melantik peguam dan prosiding masih boleh berjalan melalui wakil peguam, kecuali pada peringkat perbicaraan yang mewajibkan kehadiran anak guam,” jelasnya.
Tambahnya, Beego juga tidak pernah berniat untuk menyukarkan proses mahkamah, sebaliknya masih berusaha menyelesaikan kemelut rumah tangga secara baik.
“Anak guam saya masih dalam proses nak pujuk dan cuba selesaikan kes ini dengan cara baik. Cuma mungkin di hujung-hujung ini nampak seperti tiada sinar. Kita doakan jalan terbaik selepas pengesahan taklik nanti,” ujarnya.
Untuk rekod, Linda memfailkan perceraian terhadap Beego pada Januari lalu atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan itu pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023 sebelum kembali rujuk pada 9 April tahun sama, namun dilaporkan kembali berpisah beberapa bulan kemudian sebelum tinggal bersama semula.
Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11; Anggun Cassandra, 10; dan Indah Camelia, 6 tahun.