Sekilas
- Shafiq Shaheen beri penjelasan mengenai video tular dan dakwa akses rakaman CCTV hanya dipegang oleh bekas isteri, Syida Melvin.
- Shafiq mendakwa pernah dipukul oleh Syida dan ada rakaman bukti, tetapi enggan dedahkan kepada umum demi menjaga perasaan anak-anak.
- Shafiq juga akan jawab dakwaan bekas pekerja tentang isu pembayaran gaji dalam video berasingan.
Bekas suami pelakon Syida Melvin, Shafiq Shaheen tampil memberikan penjelasan berhubung video tular membabitkan dirinya.
Menerusi video di Threads, Shafiq berkata, dia mahu orang ramai mendengar penjelasan kedua-dua pihak sebelum membuat kesimpulan.
Menurutnya, keadaan tidak adil buat dirinya apabila akses rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah didakwa hanya berada pada telefon Syida.
“CCTV di rumah dikawal oleh Syida, maksudnya ada pada telefon dia sahaja. Jadi, apabila dia mahu melihat kekurangan kita atau mengambil sesuatu untuk pihak dirinya, dia boleh tengok semula CCTV dan rakam.
“Syafiq memang tidak ada rakaman CCTV tersebut. Di rumah kita banyak CCTV, jadi dia boleh merakam keburukan Syafiq,” katanya.
Dalam penjelasan sama, Shafiq mendakwa pernah dipukul bekas isterinya sepanjang hubungan mereka termasuk pada bahagian muka dan badan, selain mengalami kecederaan akibat tindakan tersebut.
“Dan hari ini, memandangkan Syida dah post, saya nak buat satu statement iaitu Syida ini kaki pukul suami.
“Ya, Shida ni memang seorang yang kaki pukul suami dan banyak kali saya dipukul di muka, di badan, dan lain-lain lagi ya.
“Saya ada footage tersebut ya. Banyak kali yang dia pukul saya, dia naik tangan ke kepala saya sehingga menyebabkan kecederaan, tetapi saya cuma ada satu sahaja footage yang saya berjaya ambil dari phone dia, okey,” dakwanya.
Bagaimanapun, Shafiq berkata, dia tidak mahu mendedahkan rakaman tersebut kepada umum kerana memikirkan kesannya terhadap anak-anak.
Katanya, dia bimbang mereka berdepan pertanyaan atau komen mengenai konflik ibu bapa apabila berada di sekolah.
“Syafiq ada video itu, tetapi tidak mahu tunjuk kepada semua sebab tidak mahu nanti apabila anak-anak pergi sekolah, ada orang bercakap mengenai ibu bapa mereka bergaduh.
“Bagi Syafiq, sangat memalukan apabila kita menunjukkan video keburukan dalam media sosial. Tidak patut kita buat begitu.
“Saya tidak akan tunjuk video tersebut kepada semua, hanya di mahkamah sahaja,” katanya.
Menerusi kapsyen hantaran sama, Shafiq turut memaklumkan akan menjawab dakwaan bekas pekerja berhubung isu pembayaran gaji dalam video berasingan.
Terdahulu, Syida mendakwa keluar dari kediaman bersama anak-anak demi menjaga kesejahteraan mental dan fizikal mereka susulan layanan yang disifatkannya sebagai penderaan emosi.
Sumber: Threads