Sekilas
- Kumpulan M-pop ALPHA berjaya meraih lebih 600,000 tontonan di TikTok untuk muzik video terbaru mereka, 'Haru Biru'.
- Lagu duet bersama Daiyan Trisha ini dimuatkan dalam album sulung ALPHA, The First Wave, yang mengandungi beberapa lagu lain seperti 'Gerak' dan 'Monalisa'.
- Konsep MV 'Haru Biru' menampilkan simbolik dan tujuh karakter berbeza yang menggambarkan pelbagai emosi dan kekacauan perasaan dalam cinta.
Cubaan pertama kumpulan M-pop, ALPHA, ‘belanja’ muzik video (MV) penuh terbaharu mereka menerusi TikTok membuahkan hasil apabila ‘Haru Biru’ berjaya meraih lebih 600,000 tontonan di platform tersebut.
Strategi itu menjadi salah satu pendekatan baharu ALPHA untuk mendekati peminat selain membuka peluang kepada lebih ramai pendengar mengenali karya terbaharu mereka.
‘Haru Biru’ merupakan lagu duet bersama penyanyi Daiyan Trisha yang turut dimuatkan dalam album sulung ALPHA, The First Wave.
Album tersebut menampilkan beberapa karya lain seperti ‘Gerak’, ‘Bujang’, ‘Monalisa’, ‘Mahkota Cinta’ dan ‘Burn It Down’.
Sebelum ini, ahli kumpulan ALPHA, Ariel Fesol, turut berkongsi mengenai konsep MV ‘Haru Biru’ yang sarat dengan simbolik, termasuk penggunaan glass cubical sebagai gambaran bahawa tidak semua cinta ditakdirkan untuk dimiliki.
Menurut Ariel, tujuh karakter berbeza yang dipaparkan dalam MV tersebut mewakili pelbagai emosi serta kekacauan perasaan yang dipendam seseorang apabila berdepan dengan kenyataan yang sukar diterima.