Sekilas
- Kamarozaman Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man, seorang pelakon ikonik yang terkenal dengan watak Farouk Gagak Hitam dan pengurus Rimba Bara, meninggal dunia pada usia 68 tahun pada 5 Ogos 2026.
- Sepanjang kerjayanya, Allahyarham menyumbang bakti dalam pelbagai filem dan drama, sering membawa watak antagonis namun tetap dihargai atas kejujuran dan profesionalismenya.
- Walaupun wataknya di layar sering keras, kehidupan sebenar Cik Man digambarkan sebagai pemurah, santun, dan rendah diri, meninggalkan kesan mendalam dalam dunia hiburan tempatan.
Sepotong nama Kamarozaman Yusoff atau nama pentasnya Kamarool Haji Yusoff, malah dikenali luas dengan panggilan Cik Man langsung tidak asing dalam kalangan pencinta layar lebar dan dunia televisyen.
Sosok lelaki dengan imej rambut kerinting putih ; separuh bersikat separuh tidak, kaca mata bulat, kemeja dengan dilengkapi t shirt di dalam dibalut dialog-dialog bersahaja termasuk ‘Abang main taik dik,’ yang disifatkan antara masterpiece Allahyarham Mamat Khalid buat Cik Man dalam filem Rock Oo yang ditayangkan pada tahun 2013.
Jauh sebelum dikenali generasi kini dengan panggilan Cik Man dan aksi cium kedua-dua belah tangan bersama kaki terangkat sebelah sebagai pengurus Rimba Bara, Allahyarham terlebih dahulu sinonim dengan gelaran Farouk Gagak Hitam ; watak yang dibawa sebagai samseng dari filem perdananya, Gila-Gila Remaja yang lahir di tahun 1985 silam.
Tidak hanya dua filem tersebut, Allahyarham yang berpulang ke negeri abadi pada 5 Ogos 2026 pada usia 68 tahun juga menyumbangkan bakti nan besarnya dalam pelbagai genre naskhah yang menggunakan khidmat serta bakat luar biasanya semasa hayat. Ini termasuklah Perempuan, Isteri & …, Kepala Angin, Rock, Penggembaraan Jason Murad, Jodoh Syaitan, Hantu Kak Limah Balik Kampung, Estet dan Castello serta 6 Jilake - menyebut hanya beberapa naskhah yang meski dalam kebanyakannya Allahyarham membawa watak antagonis atau ‘pendamping’, namun setiap satu amanah yang diberikan dilaksana dengan jujur.
Malah betapa ikoniknya penampilan Allahyarham, karakter beliau turut ditiru lalu dihidupkan semula sebagai cameo atau lelucon dalam program komedi seperti Maharaja Lawak.
Saat artikel ini ditulis, Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 5 petang Rabu ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Tanah Merah sudah selamat bersemadi bersebelahan pusara ibunya, Allahyarham Zainab Abdullah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual Petai Lima di Gual Ipoh , Tanah Merah.
Namun beberapa jam sebelum Alllahyarham dipisahkan dengan dunia, sebaik khalayak mendapat khabar Allahyarham sakit dan sempat ditidurkan di Uni Rawatan Rapi (ICU) sebelum ‘sedetik’ kemudian dikejutkan dengan berita pemergiannya, bertebaran kisah-kisah dan anekdot kebaikan yang pernah dicurahkan bapa dua anak ini kepada masyarakat.
Di kaca televisyen mahupun di layar lebar, sosok Kamarool Haji Yusoff dipentaskan cukup ironi dengan kehidupan realitinya ; yang menurut cerita dan pengalaman rakan karyawan seni serta orang di media sosial sebagai pemurah, santun, kerap memberi teladan, rajin ke masjid serta segudang puji-pujian lainnya memberi gambaran tentang hebatnya seorang manusia yang membezakan kehidupan peribadi dengan profosionalisme seorang seniman menjalankan amanah serta tanggungjawab dengan seikhlas hati.
Meski juga Allahyarham hanya ‘pendamping’ dan menjadi ‘side kick’ dalam sesebuah naskhah, percayalah Kamarool Haji Yusoff atau Cik Man atau Farouk Gagak Hitam telah meninggalkan kesan yang besar dalam dunia hiburan tempatan.
Buktinya, pemergian Allahyarham yang antaranya sempat mengadu sakit perut kerana gastrik terus menjadi buah mulut. Malah video dengan penampilan terakhirnya dalam sebuah program bicara wara sekitar sebulan lalu juga kembali meraih tontonan tinggi.
Antara bait bicaranya yang mencuri perhatian adalah seniman ini mengaku takut apabila menjadi pujaan peminat serta rasa bersalah kerana tidak dapat bersalaman mahupu bertemu peminat yang pernah datang mencarinya sehingga ke rumah.
“Saya takut bila orang minat saya, saya tak ada apa, yang dipaparkan itu video saya, yang penting buat kerja berkarya, jujur, kalau kita jujur kita ahli syurga,” begitu katanya dengan peribadi yang cukup merendah diri.
Dan bait kata yang berbunyi: “Jumpa di syurga” nyata menyentuh hati banyak pihak, apatah lagi permintaan tersebut keluar dari mulut seorang manusia yang barangkali sudah sedar usianya meniti di penghujung ; antara dosa dan pahalanya sudah lama dipergantungkan dengan ikhlas kepada Allah SWT.
Semoga kita berjumpa di syurga Kamarozaman Yusoff. Terima kasih kerana pernah menjadikan hidup kami ceria dengan tanggungjawab jujur yang anda bawa sehingga ke akhir hayat.