Sekilas
- Bella Park membidas sikap segelintir individu yang mempersoalkan tindakan orang ramai mengambil gambar bersama kapal terbang sebagai kenangan.
- Dia menegaskan setiap orang ada pengalaman pertama dan gambar bersama kapal terbang boleh jadi kenangan peribadi yang bermakna.
- Bella juga mengingatkan bahawa selagi tidak melanggar peraturan atau mengganggu orang lain, setiap individu berhak abadikan momen yang penting bagi mereka.
Personaliti media sosial, Bella Park membidas sikap segelintir individu yang mempersoalkan tindakan orang ramai mengambil gambar bersama kapal terbang sebagai kenangan.
Menerusi perkongsian di media sosial, Bella berkata walaupun dia kerap menaiki kapal terbang namun dia tidak pernah memandang rendah kepada mereka yang teruja untuk merakamkan momen tersebut.
Kata Bella, setiap individu mempunyai pengalaman pertama, malah gambar yang diambil bersama kapal terbang juga boleh menjadi satu bentuk kenangan peribadi buat individu tertentu.
“Walaupun sekarang saya sebulan berkali kali naik kapal terbang, saya tetap tak akan pandang rendah kepada orang yang ambil gambar macam ni (dengan kapal terbang)
“Sebab saya pun pernah pertama kali naik kapal terbang, pernah impikan naik kapal terbang, setiap orang ada pertama kalinya,” balasnya.
Bella berkata demikian menerusi hantaran di platform Threads selepas membalas perkongsian seorang individu yang mempersoalkan tindakan mengambil gambar bersama kapal terbang.

Dalam pada itu, Bella juga turut mengingatkan bahawa setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menghargai sesuatu pengalaman.
Baginya, selagi perbuatan tersebut tidak melanggar peraturan atau mengganggu orang lain, ia merupakan hak individu untuk mengabadikan momen yang dianggap bermakna.
“Kadang bukan pertama kali pun tetap nak ambil gambar sebagai kenangan. Rekod awan di atas, rekod waktu sampai, semua itu hak individu selagi tidak melanggar peraturan hingga menyusahkan orang ramai,” tegasnya.