Penyanyi, Neeta Manis meluahkan rasa kecewa dengan budaya segelintir masyarakat yang disifatkan terlalu memberi perhatian kepada pempengaruh yang terpalit dengan kontroversi.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, Neeta menyuarakan pandangan sudah tiba masyarakat berhenti untuk ‘mempopularkan’ individu bermasalah hanya kerana sensasi dan kontroversi.
“Dah 2026, dah boleh stop habit ‘influencer’ kan orang lepas kontroversi, kemudian bertindak macam tiada apa yang berlaku dan bagi mereka ‘free career’ hanya dengan reaksi dan perhatian,” luahnya.
Menurut Neeta, apa yang lebih mengecewakan adalah apabila individu yang benar-benar bekerja keras mengejar minat dan bakat mereka dipinggirkan, sedangkan individu lain yang mencetuskan kontroversi pula diangkat tanpa usaha yang setimpal.
“Ada ramai orang di luar sana yang bekerja keras terhadap minat mereka, tapi masih dianggap tak cukup bagus. Dunia tak pernah minta pendapat kita, tapi masih ada yang memilih untuk bercakap negatif tanpa sebab.
“Bila bercakap negatif, adakah itu buat anda rasa lebih baik? Rasa lebih berkuasa? Saya memang tak faham mentaliti orang macam ini,” tambahnya lagi.