Skip to main content

Selebriti

Beri Komitmen Penuh, Naim Daniel Anggap Kes Mahkamah Buat Dirinya Jadi Lebih Matang - “Hidup Harus Diteruskan…”

Beri Komitmen Penuh, Naim Daniel Anggap Kes Mahkamah Buat Dirinya Jadi Lebih Matang

Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel memaklumkan bahawa proses pengurusan kes dakwaan amang seksual yang melibatkan dirinya dengan seorang remaja berjalan lancar.

Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, hadir awal ke mahkamah sebagai tanda komitmen dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

Advertisement

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar, saya datang awal di mahkamah tadi, pukul 6 pagi dah sampai, solat subuh dekat sini tadi.

“Semuanya bagi kerjasama yang baik dan saya pun berada dalam keadaan yang baik. Untuk karier pula, saya tengah siapkan lagu baharu.

“Kalau tiada aral melintang, lagu itu akan dikeluarkan pada hujung bulan ini, sekarang masih dalam proses rakaman,” ujarnya.

Naim berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Sesyen dan Majistret, Putrajaya pada pagi Jumaat.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kesihatan mentalnya, Naim memaklumkan dirinya berada dalam keadaan baik.

“Terima kasih sebab tanya, ia bukanlah satu perjalanan yang mudah, its take a lot of things, tetapi saya percaya, proses ini juga adalah salah satu cara untuk menjadikan saya lebih matang pada masa hadapan.

“Apa apa pun hidup haruslah diteruskan, saya hanya perlu membuatkan diri saya sibuk dengan benda yang berfaedah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini menetapkan tarikh perbicaraan kes dakwaan amang seksual penyanyi Naim Daniel terhadap seorang remaja bawah umur melibatkan selama tiga hari pada 15,16 dan 17 Disember depan.

Terdahulu, Naim pada 17 Jun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.

Mengikut pertuduhan, penyanyi yang terkenal dengan lagu Purnama itu didakwa telah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel bagi tujuan seksual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit hotel di Petaling Jaya, Selangor pukul 8.56 malam pada 19 Mei lalu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin manakala Naim Daniel diwakili peguam Mohd. Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.

Mahkamah kemudian membenarkan Naim Daniel diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Sebelum ini, selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor. Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya.

Must-Watch Video

Advertisement