Pelakon, Tissa Biani akui tidak kisah untuk berlakon pelbagai genre filem selagi tidak melanggar prinsip dan batas peribadinya yang tidak mahu memainkan babak intim.
Jelas Tissa, batasan tersebut bukan sekadar keputusan peribadi malah termaktub secara rasmi dalam perjanjian kerjanya.
“Saya sebenarnya profesional saja, apa sahaja genre saya senang untuk bawakannya asalkan tiada babak intim. Saya dah pernah buat seram, sedih, kalau Dilanjutkan Salah Disudahi Perih ini romantik komedi, mungkin saya mahu mencuba aksi walaupun pernah bawakan dalam filem Pendekar Awang tapi kalau boleh saya mahukan lebih lagi aksinya.
“Saya sebenarnya ada kontrak dan dalam kontrak tersebut sudah ditetapkan saya tidak akan berlakon sebarang babak intim atau berciuman. Babak romantik itu mungkin ada tapi saya akan kontrol dan perlu ada batas. Itu pendirian saya,” katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun, Tissa menghormati keputusan rakan-rakan seindustri yang mungkin mempunyai pandangan berbeza.
Menurut Tissa, dia menolak untuk memainkan babak itu kerana menghormati ibu bapanya dan tidak mahu anak-anaknya melihat babak itu pada masa akan datang.
“Tapi tak boleh salahkan juga kalau ada pelakon yang buat dan menerima adegan tersebut sebab setiap orang ada pilihan masing-masing, tapi bagi saya secara peribadi saya rasa kurang senang membawakan babak seperti itu lebih-lebih lagi saya mempunyai orang tua dan saya tak mahu anak saya pada masa akan datang melihat babak-babak itu.
“Saya boleh buat babak romantik tapi perlu ada batasnya,” tambahnya.
Filem Dilanjutkan Salah Disudahi Perih diedar oleh Horizon Film Entertainment mengisahkan perceraian talak tiga pasangan muda berkahwin hingga mencari ‘cina buta’ sudah ditayangkan sejak 2 Oktober.
Filem bergenre komedi drama kekeluargaan ini menampilkan Kevin Ardilova sebagai Darian, Mikha Tambayong sebagai Alfa, Tissa Biani sebagai Intan dan Ibrahim Risyad sebagai Zainun.