Penyanyi, Afgan memberikan pengalaman cukup bermakna buat peminat di Malaysia dengan mempersembahkan kesemua lagu daripada album terbaharunya berjudul Retrospektif.
Jelas Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 36, Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi pertama untuknya memperdengarkan keseluruhan karya dalam album itu secara langsung kepada peminat.
“Retrospektif adalah album bahasa Indonesia selepas tujuh tahun saya tidak merakamkan album berbahasa Indonesia.Saya gembira dapat kembali ke Malaysia. Saya akan menyanyikan kesemua lagu dalam album baru ini buat pertama kalinya hanya di Kuala Lumpur.
“Di Jakarta pun belum ada, jadi anda semua dapat mendengar secara eksklusif untuk album ini. Ia bermakna anda semua sangat istimewa buat saya,” katanya.
Konsert yang menghimpunkan ratusan peminat setia itu berlangsung dengan penuh emosi apabila setiap lagu daripada album Retrospektif dipersembahkan dengan susunan muzik yang lebih segar dan bertenaga.
Pentas Zepp Kuala Lumpur juga diserikan dengan permainan cahaya dramatik serta visual artistik, menjadikan keseluruhan persembahan terasa seperti sebuah perjalanan muzikal yang membawa penonton menyelami makna album tersebut.
Lebih menarik Afgan juga sempat menjemput seorang peminat bertuah naik ke pentas selepas membaca permintaannya untuk mendapatkan ucapan hari lahir.
Suasana dewan gamat dengan sorakan apabila peminat lelaki itu berpeluang berinteraksi secara dekat dengan idolanya.
Tidak berhenti disitu, Afgan juga sempat mengambil telefon peminat secara spontan untuk merakam detik istimewa bersama buat mereka secara tak langsung menambah keintiman persembahan malam itu.
Hampir tiga jam di pentas, Afgan menghiburkan penonton dengan lebih 20 lagu popularnya iaitu Terima Kasih Cinta, Bukan Cinta Biasa, Jodoh Pasti Bertemu, Entah, Panah Asmara dan Lenggang Puspita.
Pelancaran album Retrospektif di Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi sejarah baharu dalam perjalanan seni Afgan, tetapi turut meninggalkan kenangan manis antara penyanyi itu dan para peminatnya.