Sekilas
- Betty Rahmad menafikan dakwaan bersikap biadab terhadap pekerja wanita di sebuah booth jualan semasa festival baru-baru ini.
- Beliau menjelaskan ungkapan 'I want this' ditujukan kepada rakannya, bukan kepada pekerja dengan nada kasar, dan menafikan pernah meninggikan suara.
- Betty memohon maaf sekiranya tindakannya secara tidak sengaja menggores hati pekerja terbabit dan menegaskan situasi sebenar berbeza daripada apa yang ditularkan.
Pelakon dan usahawan, Betty Rahmad tampil memberi penjelasan susulan dakwaan tular yang mengatakan dirinya bersikap biadab terhadap seorang pekerja wanita di sebuah booth jualan ketika menghadiri festival baru-baru ini.
Menurut Betty, kenyataan individu yang memuat naik video tersebut tidak tepat dan disifatkan sebagai tidak berasas sehingga menimbulkan fitnah serta salah faham orang ramai terhadap dirinya.
Jelasnya, situasi sebenar berbeza sama sekali daripada apa yang digambarkan.
“Dalam video yang owner itu buat, sangat berbeza, tak berasas, menimbulkan fitnah, syak wasangka, scenario yang berbeza dengan cerita yang saya cerita sekarang.
“Apa yang owner itu cakap yang saya pergi ke kaunter dalam video itu dan cakap ‘I want this!’, sampai situ saja. Tak ada cerita lepas itu, sebelum itu.
“Jadi saya kena cerita dengan anda semua supaya anda semua faham,” jelasnya menerusi siaran langsung (live) di TikTok pada Isnin.
Tambah Betty, ungkapan ‘I want this’ sebenarnya ditujukan kepada rakannya yang ingin membeli barangan, bukannya ditujukan kepada pekerja berkenaan dengan nada kasar.
Betty turut menafikan dirinya bersikap biadab dengan meninggikan suara seperti yang didakwa individu tersebut.
“Saya bercakap dengan kawan saya… saya cakap dengan dia cara nak minta dekat orang, tak boleh expect duduk situ dan orang datang dekat dia.
“Jadi, saya cakap dekat kawan saya ‘I want this’ macam itu untuk minta. Saya percaya korang ada yang kawan jenis macam ini.
“Yang introvert, tak tahu nak bercakap. Tapi demi Allah, bulan Ramadan, saya tak pekik. Saya tidak jerit dekat sale girl itu,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, adik kepada pengarah Erma Fatima itu tetap memohon maaf sekiranya tindakannya secara tidak sengaja menggores hati pekerja terbabit.
“Kalau saya ada buat sale girl itu tergores hati, saya betul-betul minta maaf,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, tular video memperlihatkan individu mendakwa seorang pelakon dan usahawan bersikap biadab dengan pekerjanya di booth di sebuah acara festival.
Menerusi satu hantaran di TikTok, individu itu mendakwa pelakon berkenaan telah ‘meninggikan suara’ ke arah pekerjanya ketika sibuk melayan pelanggan lain.
Individu berkenaan turut mempersoalkan tindakan tersebut dan menyifatkan tiada siapa berhak melayan pekerja dengan cara sedemikian, walaupun bergelar selebriti.