Sekilas
- Ranisha menafikan dakwaan meniru gaya Aina Abdul dan menganggap perbandingan itu sebagai satu penghormatan kepada idola muziknya.
- Dia sedang mencari identiti tersendiri dalam bidang hiburan dengan menekankan kepentingan visual dan fesyen untuk kekal relevan di pentas Big Stage.
- Ranisha aktif memberi input dalam pemilihan busana agar penampilannya selesa dan sesuai dengan karakter yang ingin ditonjolkan setiap minggu.
Bintang Big Stage Rocketfuel (BSR), Ranisha menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia cuba meniru gaya penyanyi, Aina Abdul menerusi penampilannya di pentas pertandingan itu.
Bagaimanapun, Ranisha tidak melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya menganggap ia satu penghormatan apabila disamakan dengan penyanyi yang disifatkannya sebagai antara idola dalam industri muzik tanah air.
"Bagi saya, itu satu bentuk penghormatan apabila disamakan dengan nama-nama besar seperti Aina Abdul yang merupakan antara idola dalam bidang nyanyian.
"Kalau cakap tentang fesyen, semua orang boleh pakai apa sahaja dan saya menghargai karya semua pereka fesyen yang menyediakan busana untuk dipakai setiap minggu," katanya.
Dalam masa sama, Ranisha mengakui dia masih berada dalam fasa mencari identiti tersendiri sebagai seorang penghibur, termasuk dari segi imej dan penampilan di atas pentas.
Katanya, visual memainkan peranan penting untuk membina jenama diri serta memastikan dirinya terus relevan dalam industri hiburan yang semakin kompetitif.
"Sejak kecil, saya memang mencari identiti. Jadi, fesyen dan visual yang bagus di atas pentas sangat penting. Untuk kekal relevan atau orang kenal, kita kena buat sesuatu. Saya masih lagi mencari identiti itu. Kalau ada rezeki ke final, mungkin saya akan temuinya.
"Saya kena terus berusaha dan anggap ini semua proses pembelajaran dalam Big Stage," ujarnya.
Mengulas mengenai pemilihan busana sepanjang pertandingan, Ranisha menjelaskan dia bukan sekadar menerima apa sahaja yang disediakan, sebaliknya turut memberikan pandangan bagi memastikan penampilannya selesa dan menepati karakter yang ingin ditampilkan.
"Saya tidaklah terima bulat-bulat fesyen busana yang hendak dipakai setiap minggu.
"Saya akan beritahu visual yang diingini, warna pilihan, jenis material dan apa sahaja yang menyenangkan saya di atas pentas," jelasnya.